Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini memaklumkan soalan daripada anggota parlimen yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada minggu pertama sidang kali ini akan dijawab oleh menteri berkaitan yang bertanggungjawab.
Katanya, menjadi satu kelaziman buat Anwar, yang sering ke Parlimen bagi Waktu Pertanyaan Menteri pada Selasa atau Khamis, tidak akan hadir minggu ini.

“Ini kerana perdana menteri akan menghadiri Pre-Council Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu ini,” kata Johari.
Johari turut mengingatkan ahli Dewan Rakyat supaya memaklumkan kepada dirinya atau Setiausaha Dewan Rakyat sekiranya mereka tidak dapat hadir persidangan Parlimen atas faktor tertentu seperti urusan rasmi, isu kesihatan mahupun urusan peribadi.
“Hal ini bagi memastikan rakyat tidak menganggap ahli-ahli Yang Berhormat ponteng semasa sidang Dewan Rakyat,” katanya.
Sementara itu, Johari dalam pemasyhurannya memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan lapan akta yang diluluskan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Jan hingga 3 Mac lepas.

Akta diperkenankan adalah Akta Perolehan Kerajaan 2025, Akta Imigresen (Pindaan) 2025, Akta Pasport (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.
Seri Paduka Baginda turut memperkenankan Akta Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura 2026, Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026, Akta Kualiti Alam Sekiling (Pindaan) 2026 dan Akta Perbekalan Tambahan (2025) 2026.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 telah dipersetujui oleh Dewan Negara, namun dengan pindaan kepada Fasal 11.
Sehubungan itu, Johari mahu pindaan tersebut terus dipertimbangkan Dewan Rakyat pada satu tarikh yang akan ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
“Saya telah menimbangkan pindaan itu di bawah Peraturan Mesyuarat 73 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan saya mendapati bahawa pindaan itu menepati tujuan dewan ini dan hanya melibatkan pindaan satu fasal sahaja.
“Oleh demikian, saya dengan ini memaklumkan kepada majlis (Dewan Rakyat) akan hal itu dan memohon majlis memerintahkan supaya pindaan itu terus dipertimbangkan oleh majlis pada satu hari yang ditetapkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat,” katanya.





