Bagaimanakah sejarah sesebuah negara ditulis? Adakah sejarah hanya milik golongan pemerintah dan tokoh politik tertentu? Adakah sejarah turut merangkumi pengalaman masyarakat biasa yang membentuk perjalanan sesebuah negara?
Persoalan ini menjadi teras syarahan awam bertajuk “An Agenda for Sejarah Rakyat in Indonesia” yang disampaikan oleh Profesor John Roosa dari University of British Columbia (UBC) pada 27 Jun 2026 di Petaling Jaya.
John Roosa bukanlah nama asing dalam wacana sejarah di Asia Tenggara kerana telah pun menulis tiga buku terpenting iaitu Buried Histories: The Anticommunist Massacres of 1965-66 in Indonesia (2023), Pretext for Mass Murder: The September 30th Movement and Suharto’s Coup D’Etat in Indonesia (2006), dan Tahun yang tak pernah berakhir: memahami pengalaman korban ’65: Esai-esai sejarah lisan (2004).
Sementara itu, Roosa dalam merupakan acara selingan susulan kunjungan beliau ke Malaysia dalam rangka mengisi Bengkel Penyediaan Makalah anjuran Kursi Tun Dr Ismail (KTDI), Institut Kajian Etnik (Kita).
Program anjuran Pusat Sejarah Rakyat (PSR) dengan kerjasama Mandiri ini menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pelajar yang berminat dalam persoalan kesejarahan yang bersifat traumatik.
Memahami konsep
Roosa menjelaskan bahawa sejarah rakyat tidak seharusnya difahami sebagai usaha menggantikan sejarah golongan elit dengan sejarah masyarakat biasa semata-mata. Sebaliknya, penulisan sejarah perlu turut merangkumi pengalaman rakyat, kaum terpinggir dan pada masa yang sama tidak mengetepikan perananan golongan elit dalam proses sejarah.
Justeru, penulisan sejarah perlu bergerak melangkaui naratif rasmi dengan memberi perhatian kepada pelbagai naratif daripada pengalaman masyarakat yang sering terpinggir daripada rakaman sejarah arus perdana.
Roosa malahan mengaitkan perbahasan ini dengan tradisi ‘history from below’ yang menekankan bahawa pengalaman golongan bukan elit yang pastinya merupakan sebahagian daripada sejarah negara.

Pendekatan yang seimbang ini mampu membuka ruang kepada penggunaan sumber yang lebih pelbagai—seperti sejarah lisan, arkib komuniti, memoir dan dokumen masyarakat—yang menghasilkan gambaran sejarah yang lebih menyeluruh.
Pendekatan ini tentunya kelak memperkayakan kajian sejarah dengan mengetengahkan suara serta pengalaman yang sebelum ini kurang diberikan perhatian dalam naratif sejarah rasmi.
Sejarah kontroversial
Walaupun syarahan ini memberi tumpuan kepada Indonesia, idea yang diketengahkan mempunyai kaitan yang signifikan kepada negara-negara majmuk seperti Malaysia. Roosa mengemukakan beberapa prinsip yang boleh dijadikan pedoman apabila menulis sejarah yang kontroversial. Ini termasuklah:
-
Sejarah yang kontroversial perlu ditulis sebagai usaha penjelasan sejarah dan bukannya mempertahankan naratif politik tertentu.
-
Sejarah yang kontroversial perlu menggunakan pelbagai jenis sumber merangkumi sejarah lisan dan dokumen bertulis bagi membolehkan bukti dibandingkan dan dianalisis secara lebih mendalam.
-
Penulisan sejarah yang kontroversial perlu memberi tumpuan kepada pengalaman manusia, bukan hanya kepada organisasi atau institusi.

-
Penyelidik perlu mengelakkan pemukalan (generalization) dan merujuk secara lebih spesifik kepada “siapa individu yang dimaksudkan” dan “apakah tindakan sebenar mereka.” Pendekatan ini membantu mengelakkan stereotaip dan menghasilkan sejarah yang lebih tepat.
-
Sejarah yang kontroversial perlu berani menilai semula naratif rasmi negara, dan
-
Sejarah lisan tidak memadai untuk menjelaskan keseluruhan kebenaran. Sebaliknya, kita perlu mengakui bahawa ramai saksi sendiri masih keliru tentang apa yang berlaku. Oleh itu, penyelidik perlu menemu bual seramai mungkin individu, lalu membuat perbandingan antara pelbagai testimoni dan akhirnya meneliti bukti secara mendalam sebelum membuat kesimpulan.
Antara historiografi negara dengan sejarah rakyat
Dilema sejarah kontroversial ini dapat diperhatikan dalam pertentangan antara historiografi negara dengan sejarah rakyat, apabila kedua-dua sudut pandang ini sering bertembung untuk merebut perspektif masyarakat terbanyak.
Roosa menegaskan dari awal bahawasanya sejarah rakyat bukanlah bertindak sebagai pengganti kepada sejarah negara atau sejarah elit. Sebaliknya, pendekatan beliau menunjukkan bahawa ketegangan antara kedua-duanya perlu terus dikekalkan sebagai ruang untuk menguji, mencabar dan melengkapkan pemahaman sejarah.
Untuk memerihal perkara ini, maka Roosa membangkitkan beberapa perkara berikut:
Pertama, Roosa mengingatkan bahawa sejarah rakyat mempunyai kelemahannya. Dalam amaran ini, beliau menyebut bahaya populisme apabila istilah “the people” digunakan terlalu umum sehingga kepentingan khusus kelas pekerja atau kelompok tertentu boleh hilang dalam lipatan rakaman.
Pada masa yang sama, beliau juga tidak mahu menolak history from above, kerana masyarakat terpinggir sendiri mahu mengetahui apa yang dilakukan dan difikirkan oleh golongan elit. Lantas, beliau mencadangkan suatu konsep sejarah yang merangkul kedua-dua perspektif: golongan elit dan kumpulan rakyat/subaltern.
Kedua, sejarah rakyat mestilah berfungsi ke arah mempersoalkan naratif dominan tatkala naratif rasmi mempunyai kelompongan yang ketara. Roosa menegaskan bahawa naratif rasmi sering tidak konsisten. Justeru, ketegangan antara historiografi negara dengan sejarah rakyat sebenarnya mempunyai fungsi epistemik, yakni membolehkan kita bertanya (i) apakah yang dimasukkan dalam sejarah rasmi, (ii) apakah yang ditinggalkan, (iii) siapakah yang diberi suara, dan (iv) siapakah yang tersisih dan tidak kelihatan.
Ketiga, sejarah rakyat juga tidak boleh dianggap secara automatik sebagai “kebenaran alternatif.” Roosa sendiri menunjukkan bahawa sejarah lisan boleh mengandungi kekeliruan. Individu yang mengalami sesuatu peristiwa mungkin hanya mengetahui sebahagian daripada apa yang berlaku.
Sebab itu, Roosa amat menekankan keperluan menemu bual seramai mungkin orang, lalu melakukan semakan silang terhadap cerita mereka, selain menggali pengalaman individu secara lebih mendalam. Memang, naratif negara boleh dipersoalkan (ataupun dipertegaskan), akan tetapi naratif rakyat juga perlu diuji secara kritis.
Keempat, perbincangan Roosa mengenai konsep hegemoni menjelaskan bagaimana hubungan antara masyarakat, gerakan politik dan kuasa tidak semestinya bersifat pertentangan secara mutlak. Dalam konteks Revolusi Indonesia, misalnya, kaum pekerja mengambil alih pengurusan kereta api, dan para petani menduduki tanah. Namun, pada masa yang sama, mereka masih membuka pintu rundingan dan berhubung dengan kepimpinan negara yang bersifat nasionalis. Maka, sejarah bukan semata-mata pertentangan mudah antara “negara” melawan “rakyat.” Sebaliknya, terdapat proses rundingan kuasa, penerimaan, penentangan dan akomodasi antara pelbagai aktor.
Kelima, terakhir, sejarah rakyat tidak perlu ditulis secara terasing daripada sejarah negara, pasukan tentera atau golongan elit. Bahkan, kisah peribadi rakyat juga boleh membantu kita memahami sejarah tentera dan golongan elit kerana rakyat tidak hidup secara terasing daripada kerangka struktur politik yang lebih besar. Malah, percubaan negara untuk menghasilkan “satu naratif” yang menjawab semua persoalan dan mesti diterima semua orang merupakan perkara yang dikritik oleh John Roosa kerana naratif sedemikian sendiri boleh mengandungi kelompongan dan percanggahan.
Oleh itu, jika direnungkan dalam konteks Malaysia, matlamatnya mungkin bukan untuk menentukan sama ada “sejarah negara benar” atau “sejarah rakyat benar”. Lebih penting ialah mewujudkan ruang historiografi yang membolehkan kedua-duanya dipertemukan, dibandingkan dan diuji, tanpa menghapuskan ketegangan yang wujud antara pengalaman rakyat dengan naratif institusi. Dalam pengertian ini, ketegangan itu bukan semestinya masalah yang perlu dihapuskan. Lebih daripada itu, ketegangan ini adalah kekayaan yang boleh menjadi sumber kepada penulisan sejarah yang lebih kritis, rinci, dan manusiawi.
Secara keseluruhannya, Roosa membuka ruang untuk kita kembali merenungkan bagaimana penulisan sejarah dapat menyumbang kepada proses pembinaan negara bangsa. Konsep sejarah rakyat—yang dewasa ini sering didendangkan oleh pelbagai kelompok di Malaysia—hakikatnya bukanlah sekadar satu pendekatan dalam penulisan sejarah, tetapi juga satu cara dalam memahami kerumitan hubungan kuasa, identiti dan pengalaman masyarakat secara lebih menyeluruh.
Bagi memanfaatkan wacana ini dalam pengalaman Malaysia, pendekatan sejarah rakyat sama sekali tidak dinafikan berupaya memberikan pengajaran bahawa sejarah yang terangkum, di samping mampu menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa yang lebih adil, demokratik dan bersatu.
Lebih berharga daripada itu, wacana sejarah daripada pelbagai perspektif pastinya akan memeriahkan perbahasan akademik sekali gus menggalakkan masyarakat untuk melihat sejarah sebagai wahana yang dapat merapatkan jurang antara individu, komuniti serta memperkukuh perpaduan nasional.
SITI SUHAIZA SENIN merupakan pembantu penyelidik siswazah di Kursi Tun Dr Ismail (KTDI), Institut Kajian Etnik (Kita).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





