Hubungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dikatakan hambar susulan kerjasama BN dengan PN berjaya meraih kemenangan besar pada pilihan raya Negeri Sembilan yang menumbangkan pentadbiran PH.
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa "ada perpecahan yang besar" selepas penjajaran politik di Negeri Sembilan.
"Perkara yang saya nak sebut adalah, kalau hubungan antara PMX dengan Umno dan Barisan Nasional terus berada dalam keadaan yang sangat-sangat mencabar seperti ini.
“Saya rasa bukan rahsia untuk kita kata bahawa tahap kepercayaan antara PMX dan juga TPM, Datuk Seri Zahid, berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan Madani ditubuhkan.

"Okay, letakkan ketepi, aksi tersenyum di hadapan kamera dan semua itu. Sebab kita tahu bahawa Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Zahid adalah pakar dalam persembahan politik dan boleh tunjuk kepada dunia apa saja yang mereka nak tunjuk sebagai baik.
"Sedangkan di sebalik itu ada pelbagai masalah. How can you deny it? Basically, Negeri Sembilan was a rupture (perpecahan).
"Macam mana nak nafikan benda itu? Memang Negeri Sembilan adalah satu rupture yang sungguh besar. PH akan kata pengkhianatan.
"BN pula akan kata, well, we just agreed to work with you at the federal level. It doesn't mean that we are tied with you forever ," katanya pada podcast Keluar Sekejap.

Analisis Malaysiakini mengenai PRN Negeri Sembilan baru-baru ini mendapati BN dan PN berjaya menggabungkan sokongan pengundi Melayu untuk memenangi 25 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di negeri itu manakala PH sekadar meraih 11 kerusi.
Gabungan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina untuk PH dan peralihan sokongan pengundi India kepada BN turut memberi isyarat bahaya kepada gabungan itu, yang mungkin terus kehilangan undi penyokong kecewa susulan persepsi ia telah meninggalkan cita-cita reformasi.
Dalam senario sedemikian, PH juga dijangka kehilangan banyak kerusi di peringkat parlimen pada pilihan raya umum (PRU16) akan datang serta di negeri seperti Melaka, Perak, Kedah, Pahang dan juga Pulau Pinang.
Sementara itu, Khairy membangkitkan persoalan berapa lama lagi BN akan menyokong kerajaan Madani yang diterajui Anwar ini.

"Keputusan mengenai timing pilihan raya (umum ke-16) ini banyak bergantung kepada Barisan Nasional.
“Saya rasa, kalau dihitung bilangan ahli parlimen, mungkin kerajaan boleh survive kalau semua ahli parlimen Barisan Nasional menarik sokongan, tetapi keadaannya memang seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa.
"Dengan adanya rebel daripada PKR dan beberapa ahli parlimen bebas dari Sabah yang berminat untuk menyertai BN, you start seeing that the numbers are getting less and less.
"Mungkin the cards are really with Datuk Zahid," katanya lagi.

Khairy berkata walaupun Ahmad Zahid sebelum ini berjanji mahu memastikan BN terus bersama kerajaan sehingga tamat penggal namun tekanan terhadap Umno boleh mengubah percaturan politik.
“Tetapi, balik kepada isu tadi, kalau ada langkah-langkah seperti RCI dan Tabung Haji, kalau ada langkah-langkah yang secara kebetulan — caveat, kebetulan — pertuduhan terhadap pemimpin-pemimpin Umno.
“Kebetulan, saya tak babitkan, tetapi kebetulan, coincidentally, there are discharges against Umno leaders, berapa banyak lagi yang Umno boleh terima," soalnya.





