Menjelang AJL (Anugerah Juara Lagu) ke-40 yang bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, bukan sahaja lagu dan vokal finalis yang menjadi perhatian. Konsep persembahan juga pasti antara perkara yang ditunggu-tunggu penonton.
Walaupun AJL pada asasnya diwujudkan untuk mengangkat karya lagu, pentas ini sejak sekian lama turut menjadi ruang buat penyanyi mencipta momen yang boleh dikenang bertahun-tahun.
Masalahnya, untuk menghasilkan beberapa minit persembahan yang nampak ‘wow’ di kaca televisyen, kos di belakang tabir kadangkala bukan sedikit.
Set pentas, busana, penari, pencahayaan, teknologi, kru dan latihan semuanya memerlukan wang. Malah, ada penyanyi yang secara terbuka mendedahkan perbelanjaan mereka mencecah hampir atau melebihi RM100,000 untuk satu malam AJL.
Jadi, berapa mahal sebenarnya untuk kelihatan ‘mahal’ di pentas AJL? Berikut tiga finalis AJL sebelum ini yang mempunyai angka dan sumber yang boleh disahkan.
Artikel Berkaitan: #AJL37: Aina Abdul Bawa 30 Tenaga Pekerja, Sanggup Berhabis RM90,000
Artikel Berkaitan: Aisha Retno Tak Ambil Pusing Hantaran Individu Didakwa Mahu Tuntut Hutang – ‘Yang Penting Dia Tak Sebut Nama Saya’
1. Shiha Zikir – Irama (AJL37) Kos Lebih RM100,000
Kalau ada persembahan yang membuktikan Shiha Zikir memang datang ke AJL untuk ‘all out’, Irama antara contoh terbaik. Bagi AJL37, Shiha tampil dengan konsep glow in the dark, permainan warna neon serta penggunaan cahaya laser yang menjadi antara elemen utama persembahannya.
Shiha kemudian mendedahkan keseluruhan persembahan tersebut menelan belanja lebih RM100,000, dengan elemen laser menjadi antara bahagian paling mahal.
Namun, bukan Shiha seorang yang mengeluarkan semua wang itu. Menurutnya, kos berkenaan dibahagikan antara Shiha Zikir Empire, Todak Music dan Alternate Record.
Berbaloi ke?
Dari sudut hadiah wang tunai semata-mata, memang jauh beza. Shiha memenangi Persembahan Terbaik AJL37 bernilai RM12,000, sedangkan kos persembahannya melebihi RM100,000.
Namun begitu, Shiha sendiri mengakui dia tetap berpuas hati dengan pelaburan tersebut kerana mahu menghasilkan persembahan yang menepati kepuasannya sebagai seorang penghibur. Malah, setahun kemudian Shiha sekali lagi merancang sesuatu yang lebih ekstrem untuk Kalam di AJL38.
Dia pada asalnya mahu menerbangkan 200 buah dron di dalam Axiata Arena (kini Unifi Arena) dengan kos yang dianggarkan sekitar RM300,000 untuk dron sahaja, tidak termasuk pakaian dan penari. Idea itu bagaimanapun tidak diteruskan selepas faktor keselamatan penonton diambil kira.
Sumber:
XTRA – Shiha Zikir berhabis lebih RM100,000 untuk AJL37, Kosmo! – Guna 8 lampu laser, Shiha Zikir labur lebih RM100,000, mStar – Shiha Zikir rancang 200 dron dengan modal RM300,000 di AJL38
2. Aina Abdul – Terus Hidup (AJL37) Kos: Sekitar RM90,000
Kalau bercakap tentang penyanyi yang benar-benar melihat AJL sebagai sebuah ‘show’, nama Aina Abdul memang sukar diketepikan.
Ketika membawa Terus Hidup di AJL37, Aina membina sebuah dunia serba putih di atas pentas dengan set berbentuk kepulan awan serta busana futuristik rekaan Melinda Looi.
Untuk merealisasikan idea tersebut, Aina mendedahkan dia berbelanja sehingga RM90,000, termasuk kos busana, selain dibantu kira-kira 30 orang kru untuk menjayakan konsep persembahannya.
Konsep awan itu juga bukan sekadar mahu kelihatan cantik di atas pentas. Persembahan tersebut mempunyai nilai sentimental buat Aina dan didedikasikan kepada arwah bapanya.
Berbaloi ke?
Kalau dibandingkan dengan Shiha, Aina mungkin antara contoh paling hampir kepada istilah ‘balik modal’.
Terus Hidup dinobatkan sebagai Juara AJL37 dengan hadiah RM100,000, manakala Aina turut memenangi Vokal Terbaik bernilai RM12,000.
Secara kasar, nilai hadiah yang dimenangi pada malam tersebut iaitu RM112,000 sudah melebihi jumlah sekitar RM90,000 yang dilaporkan dibelanjakannya untuk persembahan.
Namun, jangan cepat anggap setiap kali Aina masuk AJL dia mengeluarkan angka yang sama.
Ketika Puas Sudah di AJL39, Aina mengakui ia merupakan perbelanjaan paling besar sepanjang penyertaannya di AJL, tetapi enggan mendedahkan angka sebenar. Dia juga menafikan dakwaan kosnya melebihi RM500,000. Hampir 100 orang dilaporkan terlibat dalam menyiapkan persembahan tersebut.
Dan akhirnya, Puas Sudah memenangi Persembahan Terbaik AJL39.
Sumber:
Buletin TV3 – Aina Abdul sanggup berhabis RM90,000 demi AJL37, HibGlam – AJL39 paling banyak Aina Abdul berhabis, bawa hampir 100 kru
3. Aisha Retno – Sutera (AJL38) Dana persembahan yang didedahkan: RM83,000
Kes Aisha Retno sedikit berbeza. Tidak ada kenyataan daripada Aisha sendiri yang mengatakan keseluruhan persembahan Sutera berharga RM83,000.
Sebaliknya, angka tersebut muncul beberapa bulan selepas AJL38 apabila pihak Kharisma Music International mendakwa mereka telah memberikan pendahuluan atau pinjaman sebanyak RM83,000 bagi membantu merealisasikan persiapan persembahan Aisha di AJL38.
Jadi penting untuk difahami RM83,000 itu bukan angka kos keseluruhan persembahan yang disahkan, sebaliknya jumlah dana yang menurut Kharisma Music dipinjamkan bagi membantu persiapan tersebut.
Pada malam AJL38, Aisha mencuri perhatian dengan konsep bak puteri bunian sebelum mengakhiri persembahan dengan aksi ‘terbang’ di udara. Persembahan itu turut menerima standing ovation daripada penonton.
Berbaloi ke?
Dari sudut pencapaian AJL, hasilnya memang besar. Sutera muncul naib juara AJL38 dengan hadiah RM50,000, manakala Aisha turut dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik dengan RM12,000.
Namun, kisah dana RM83,000 tersebut kemudian menjadi isu apabila berlaku pertikaian antara pihak Aisha dan Kharisma Music mengenai sifat pembayaran tersebut. Oleh sebab itu, lebih tepat untuk melihat angka berkenaan sebagai gambaran tentang betapa besarnya dana yang mungkin diperlukan untuk merealisasikan satu persembahan AJL, bukannya sebagai ‘kos rasmi’ Aisha.
Sumber:
Gempak – Kharisma Music dakwa pinjamkan RM83,000 untuk persiapan Aisha Retno di AJL38, Kosmo! – KMI tuntut baki pinjaman berkaitan AJL38
Jadi, Kenapa Artis Sanggup Berhabis Besar?
Kalau sekadar melihat jumlah hadiah, memang ada persembahan yang langsung tidak ‘balik modal’. Bayangkan mengeluarkan lebih RM100,000 tetapi hadiah Persembahan Terbaik hanya RM12,000.
Namun, nilai AJL kepada seseorang penyanyi tidak semestinya berakhir apabila kamera ditutup.
Hazama pernah menjelaskan penyertaan di pentas akhir AJL boleh membantu meningkatkan profil seseorang artis sehingga memberi ruang kepada mereka menaikkan kadar bayaran persembahan. Menurutnya, faktor itulah antara sebab artis sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memberikan persembahan terbaik.
Dalam erti kata lain, yang dibeli bukan semata-mata prop, laser atau kostum. Mereka sedang membeli satu momen. Jika persembahan itu berjaya menjadi buah mulut, ia boleh melekat dengan nama seseorang penyanyi jauh lebih lama daripada beberapa minit mereka berada di atas pentas.
Shiha masih diingati dengan permainan laser Irama. Aina dengan awan putih Terus Hidup. Aisha pula dengan aksi ‘terbang’ menerusi Sutera.
Jadi, adakah berbaloi berhabis puluhan hingga ratusan ribu ringgit untuk AJL? Mungkin jawapannya bukan terletak pada jumlah wang hadiah semata-mata.
Kerana di pentas sebesar AJL, kadangkala satu persembahan yang orang tidak boleh lupa lebih bernilai daripada satu trofi yang akhirnya disimpan di dalam almari.
The post Menang Sorak Atau Balik Modal? 3 Artis Yang Dipercayai Berhabis Ratusan Ribu Ringgit Demi ‘Satu Malam’ Di AJL! first appeared on OHBULAN!.





