Setiausaha Pemuda PKR (AMK), Omar Mokhtar A Manap ketika menyentuh dinamika dalam kerajaan perpaduan mengingatkan PKR supaya tidak hanya bergantung pada percaturan politik pihak lain
Sebaliknya, Omar berkata PKR patut menggunakan tempohnya dalam kerajaan untuk membina kekuatan sendiri.
“Ya, kita sedar realiti bahawa kita menjadi kerajaan perpaduan adalah dengan kongres semua.
"Tapi kita tak boleh membiarkan kita berdepan dengan kawan-kawan yang telunjuk lurus, kelingking berkait, depan mata senyum, belakang mengatur pelbagai gerakan,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan ucapan dasar Ketua AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Menurut Omar, PKR perlu menilai kemampuan dan ruang yang dimilikinya untuk menggerakkan agenda parti, termasuk melalui kementerian yang diterajuinya.
“Kalau dah dia peranangai macam itu, kita yang pegang kerajaan ini kita buat apa? Lihat balik apa yang kita mampu untuk gerakkan agenda.
“Semak balik setiap kementerian yang kita pegang, apakah program-program yang boleh bawa terus turun kepada rakyat. Kalau dah dia buat macam itu, apa yang menghalang kita untuk kita buat,” katanya.
Kerjasama dengan parti lain
Dia berkata PKR juga perlu mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain, termasuk parti kecil dan parti tempatan dalam usaha memperkukuh kedudukan politiknya.
“Apa yang menghalang kita untuk buka ruang kerjasama dengan parti-parti lain?
“Apa yang menghalang kita untuk melihat parti-parti kecil atau parti-parti tempatan yang boleh bersama-sama dengan kita untuk kita garap kekuatan dan rangkum kerjasama untuk bawa ke depan?
“Apa yang menghalang kita? Kalau dia boleh buat, kita jauh lagi boleh buat,” katanya lagi tanpa menamakan secara khusus pihak yang dimaksudkannya itu.
Bagaimanapun, dia dipercayai merujuk hubungan tegang antara PH dan rakan gabungannya BN.

Walaupun berkongsi kuasa bersama PH di peringkat kerajaan persekutuan namun BN mengadakan kerjasama dengan PN pada pilihan raya Negeri Sembilan lalu sehingga menumbangkan pentadbiran yang diterajui PKR.
Analisis Malaysiakini mengenai PRN Negeri Sembilan baru-baru ini mendapati BN dan PN berjaya menggabungkan sokongan pengundi Melayu untuk memenangi 25 kerusi, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga di negeri itu manakala PH sekadar meraih 11 kerusi.
Gabungan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina untuk PH dan peralihan sokongan pengundi India kepada BN turut memberi isyarat bahaya kepada gabungan itu, yang mungkin terus kehilangan undi penyokong kecewa susulan persepsi ia telah meninggalkan cita-cita reformasi.
Dalam senario sedemikian, PH juga dijangka kehilangan banyak kerusi di peringkat parlimen pada pilihan raya umum (PRU16) akan datang serta di negeri seperti Melaka, Perak, Kedah, Pahang dan juga Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Omar menggesa PKR supaya menjajarkan semula kompas politiknya dengan memberikan lebih perhatian kepada perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Katanya, isu yang dibangkitkan wakil Pahang, termasuk tanah adat, menunjukkan rakyat semakin memberikan perhatian kepada isu mikro yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
“Saya fikir kita kena realign kompas politik kita. Kita kena sesuaikan perjalanan kita dengan apa situasi depan mata.
“Ini waktu untuk kita bercakap apa yang rakyat nak dengar. Bukan lagi kita paksa rakyat untuk dengar apa yang kita cakap. Rakyat nak apa, kita kena tahu,” katanya.

Menurut Omar, pendekatan itu selari dengan asas perjuangan PKR yang membawa isu rakyat dan keadilan.
“Selagi kita bercakap soal rakyat, keadilan akan sentiasa relevan dalam peta politik tanah air,” katanya.
Omar pada masa sama mengingatkan anggota AMK supaya tidak menganggap kedudukan PKR dalam kerajaan akan kekal selama-lamanya.
Katanya, tempoh dalam kerajaan perpaduan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh organisasi dan membina semula kekuatan akar umbi.

“Kita jadi kerajaan perpaduan, lepas ini kita tak tahu dah bila kita dapat balik. Jadi tolonglah, pastikan nak kerja di lapangan, bina balik kekuatan, bukan sekadar dekat peringkat cawangan, tetapi sanggup turun ke peringkat daerah.
“Itulah yang kita kena bina dan terus bina dari sekarang,” katanya.
Omar berkata PKR juga tidak boleh lagi bergantung semata-mata pada “gelombang” politik untuk memenangi pilihan raya kerana sokongan sedemikian boleh berubah dan tidak semestinya memihak kepada parti itu.
“Kita tidak boleh lagi mengharapkan bahawa kita menang hanya dengan gelombang. Tak boleh lagi.
“Kita kena sedar diri bahawa kita kena menang dengan kita membina kekuatan. Kita tak ada masa lagi. Gelombang itu datang tiba-tiba. Rezeki kitalah kalau waktu itu gelombang itu memihak kepada kita,” katanya.





