Ada dua isu dibawa Pemuda PKR (AMK) dalam ucapan dasar ketuanya malam tadi – pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kuota Budi95 yang melibatkan ramai orang ketika ini.
Terkait PTPTN, ketuanya, Kamil Abdul Munim, mencadangkan agar pinjaman yang melibatkan pelajar dalam kalangan berpendapatan rendah atau miskin dihapuskan; manakala kuota petrol RON95 bersubsidi dikembalikan kepada 300 liter sebulan – jika keadaan kewangan negara mengizinkan.
Menurut Kamil cadangan memansuhkan pinjaman PTPTN itu bukanlah dasar menyeluruh, sebaliknya bersasar iaitu hanya melibatkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
"Kemiskinan ibu bapa tidak seharusnya menjadi hukuman terhadap masa depan anak. Pendidikan mesti menjadi jalan keluar daripada kemiskinan, bukannya jalan menuju hutang sepanjang hayat," katanya.
Kamil berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di pembukaan kongres tahunan sayap PKR itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, malam tadi.
Untuk rekod isu PTPTN bukanlah asing kepada PKR dan PH.
Gabungan itu – semasa menjadi pembangkang – pernah berjanji untuk menangguhkan pinjaman PTPTN jika diberi mandat menjadi kerajaan pusat namun gagal dilaksanakan selepas 2018 apabila mereka menguasai Putrajaya dan kebanyakan negeri.
Namun janji untuk memansuhkan larangan ke luar negara ke atas peminjam yang disenarai hitam berjaya dilaksanakan.
Salah seorang ahli parlimen PH, Wan Saiful Wan Jan, dilantik menjadi Pengerusi PTPTN.
Tak mahu menunggu saja
Dia – yang ketika itu menjadi pemimpin Bersatu – kemudian memohon maaf atas kegagalan menunaikan janji menangguhkan bayaran balik bayaran peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan dengan alasan kedudukan hutang negara serta keperluan menyediakan pinjaman kepada pelajar baru.
Penangguhan bayaran PTPTN itu merupakan satu daripada 10 janji PH untuk ditunaikan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.
Dalam Belanjawan 2019, PH kemudian memperkenalkan jadual bayaran balik PTPTN secara progresif. Melalui penstrukturan semula itu peminjam yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan diwajibkan membayar antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan mereka melalui potongan gaji.
Dalam PRU 2022 pula PH berjanji untuk memberikan penghapusan pinjaman pendidikan secara bersasar kepada peminjam daripada kumpulan pendapatan B40 dan golongan miskin.

Dalam ucapannya malam tadi, Kamil turut menggariskan matlamat AMK untuk memastikan transisi anak muda daripada dunia pendidikan kepada pekerjaan.
"Kita mahu anak muda bergerak daripada pendidikan kepada pekerjaan, daripada pekerjaan kepada pendapatan, daripada pendapatan kepada pemilikan dan selepas itu daripada pemilikan kepada kemampuan membina generasi selepas mereka," katanya.
Pada masa sama dia yang juga seorang daripada setiausaha politik perdana menteri menegaskan, AMK tidak mahu ada generasi muda yang sentiasa menunggu peruntukan untuk kelangsungan hidup masing-masing.
“Kita mahu generasi yang memiliki rumah, tanah, saham, syarikat, harta intelek, teknologi dan kemahiran bernilai tinggi," katanya.
Berhubung Budi95, Kamil berkata dia memahami rasional kerajaan melaksanakan subsidi bersasar serta keperluan menjaga disiplin fiskal, tetapi sesuatu dasar tidak seharusnya kekal apabila keadaan berubah.
Dalam keadaan berbeza, tambahnya, kerajaan perlu berani untuk berubah.

Asalnya kuota untuk petrol RON95 bersubsidi ialah 300 liter sebulan untuk semua rakyat Malaysia, namun dikurangkan kepada 200 liter sebulan mulai 1 April lalu ekoran konflik di Asia Barat yang menyaksikan harga minyak dunia melonjak ketara.
“AMK mengusulkan apabila harga minyak dunia reda, apabila ruang fiskal mengizinkan, kembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan dan pertimbangkan sehingga 350 liter untuk kelompok yang mempunyai keperluan mobiliti tinggi berdasarkan data yang jelas," katanya.
Kamil berkata pihaknya bukan mahukan subsidi tanpa had, sebaliknya suatu dasar yang mengambil kira kehidupan rakyat.
Katanya reformasi subsidi perlu bergerak seiring dengan perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Jika rakyat diminta berkorban, rakyat berhak melihat manfaat daripada pengorbanan itu," katanya.





