Sekumpulan aktivis haiwan memohon injunksi sementara daripada mahkamah bagi menghalang Majlis Daerah Besut dan kerajaan Terengganu daripada menembak mati anjing di kawasan tersebut.
Permohonan perintah sekatan sementara itu bertujuan mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan saman berhubung insiden tembakan anjing jalanan bernama Kopi pada Oktober tahun lalu.
Pada 10 Disember tahun lalu, aktivis hak haiwan Kartini Farah Abd Rahim, S Mukunnan, Hong Hai San, dan S Shashi Kumar memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Terengganu.
Plaintif memohon deklarasi mahkamah bahawa pembunuhan Kopi melanggar peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Menurut afidavit sokongan yang dikemukakan oleh Shashi, injunksi sementara itu perlu bagi mengelakkan tindakan undang-undang tersebut menjadi sia-sia (nugatory).

Dalam afidavit yang diikrarkan pada 3 Jan, plaintif mendakwa bahawa kedua-dua defendan mempunyai niat jahat untuk meneruskan tindakan menembak mati anjing, kucing atau haiwan lain di Besut.
Shashi mendakwa perkara ini dibuktikan apabila majlis daerah dan kerajaan negeri tidak menjawab surat plaintif bertarikh 13 Dis yang meminta jaminan untuk menghentikan tindakan menembak haiwan jalanan di daerah tersebut.
Permohonan batalkan saman
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Daerah Besut dan kerajaan Terengganu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh para aktivis tersebut.
Kedua-dua defendan berhujah bahawa tindakan sivil itu remeh (frivolous), menyusahkan (vexatious), dan menyalahgunakan proses mahkamah, justeru patut dibatalkan tanpa perlu perbicaraan penuh.
Menurut afidavit sokongan yang dilihat oleh Malaysiakini, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Sukeri Ibrahim, berhujah bahawa mahkamah sivil bukan forum yang sesuai untuk mendengar tuntutan tersebut.
Sukeri menjelaskan bahawa peruntukan Akta Kebajikan Haiwan – Seksyen 29(1) dan 30(1) – melibatkan kesalahan yang boleh dihukum dengan denda, penjara, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan oleh mahkamah.
Dia berhujah bahawa peruntukan tersebut adalah undang-undang keseksaan (penal law) yang melibatkan pendakwaan di mahkamah jenayah dan bukan di bawah bidang kuasa mahkamah sivil.

Dalam afidavit lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zulkifli Ali, berkata saman terhadap kerajaan Terengganu patut dibatalkan kerana kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak bertanggungjawab secara vikarius atas tindakan majlis daerah.
Pada Oktober tahun lalu, Sukeri menjelaskan bahawa tindakan menembak Kopi, yang mencetuskan kemarahan di media sosial, dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Dia turut menafikan dakwaan bahawa pekerja majlis perbandaran meninggalkan anjing tersebut selepas ditembak, sebaliknya mendakwa beberapa individu menghalang mereka daripada mengambil bangkai anjing tersebut.
Susulan insiden ini, tujuh NGO dari Sarawak dan Sabah menyeru supaya kaedah kawalan populasi anjing jalanan yang lebih berperikemanusiaan digunakan dan menghentikan kaedah menembak mati.
Firma guaman Raj & Sach mewakili para aktivis berkenaan, manakala firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid serta Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri mewakili Majlis Daerah Besut dan kerajaan Terengganu.





