Pemuda Umno Petaling Jaya hari ini mengadukan isu penghinaan ke atas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kepada polis dan berharap tindakan tegas diambil ke atas pelaku yang bertanggungjawab.
Ketuanya, Muhammad Azlan Abu Bakar, berkata kandungan dimuat naik akaun Facebook dikenali sebagai Huayan The Pureland Learning Center itu sangat tidak boleh diterima dan keterlaluan.
Justeru tindakan keras mesti dikenakan terhadap pihak yang berkenaan.
"Umno Petaling Jaya tidak akan sesekali berdiam diri dengan mana-mana pihak yang cuba mencemarkan institusi raja.
"Sudah wajar agar mereka yang menghina Sultan Selangor itu dibuang dari negeri ini dan tidak dibenarkan tinggal mahupun mencari rezeki di dalam negeri ini," katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Dia yang juga Setiausaha Kerja Pemuda Umno Malaysia menambah, laporan itu dibuat tidak bukan sekadar mengadukannya kepada pihak berkuasa, sebaliknya menjadi penegasan bahawa mereka tidak berkompromi dengan sesiapa yang menghina raja Melayu.
Menurutnya, tindakan sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana berpotensi berulang sekiranya tiada tindakan tegas diambil.
“Hari ini kami hadir bukan semata-mata untuk membuat laporan polis, tetapi sebagai satu amaran keras,” katanya yang hadir bersama kira-kira 30 penyokong.

Mereka kemudian sempat melaungkan “Daulat Tuanku” dan “Wong Siew Ki Buang Negeri” selepas laporan polis selesai dibuat.
Pada 22 April lalu seorang Adun menarik perhatian ramai semasa membahaskan titah diraja di Dewan Undangan Negeri Selangor apabila membangkitkan isu penternakan babi.
Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, berpendapat kerajaan negeri wajar mempertimbangkan semula kebenaran menternak babi menggunakan sistem penternakan yang moden dan tertutup.
MB diminta jangan ‘lembik’
Katanya kaedah itu mampu mengaplikasikan konsep sifar pelepasan (zero-discharge) serta memanfaatkan teknologi kitar semula biogas.
Bagaimanapun ia mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.
Antaranya, mereka menganggap Wong sebagai menyanggah titah Sultan Sharafuddin yang sebelum ini sudah menyatakan rasa tidak berkenan baginda kepada cadangan projek penternakan babi di negeri tersebut.
Baginda bertitah projek sebegitu boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar, selain melibatkan isu kekangan sumber tanah.
Menurut Azlan, tiada sebarang jaminan dapat dibuat jika projek penternakan babi dibuat, walaupun menggunakan kaedah yang moden, khususnya ke atas kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber air bersih penduduk Lembah Klang.
Dia turut menggesa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, supaya tidak bersikap ‘lembik’ dan ‘kayu’ dalam menangani isu tersebut.

“Kami mahu Menteri Besar Selangor jangan terus lembik dengan membiarkan Adun-Adun Selangor bersuara, dan beliau perlu melaksanakan perkara-perkara seperti yang dititahkan sultan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azlan turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian lebih serius terhadap isu banjir yang masih menjejaskan penduduk negeri itu.
Katanya, kerajaan negeri perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat selain memastikan titah Sultan Sharafuddin dilaksanakan dengan sewajarnya.
“Isu banjir masih menjadi derita kepada rakyat hingga hari ini dan perlu ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.





