Polis menahan dua remaja lelaki selepas salah seorang daripada mereka bertindak menceroboh landasan kereta api di Stesen LRT Muhibbah, Bukit OUG, pada 25 April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Mohd Rosdi Daud, berkata kejadian kira-kira jam 11.52 malam itu dikesan pihak keselamatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang suspek turun ke trek di Platform 1 dengan sengaja, semata-mata untuk berjoget bagi tujuan berseronok.
"Kedua-dua suspek yang berusia 16 dan 17 tahun telah ditahan oleh anggota polis bantuan sebelum diserahkan kepada pihak polis dari Balai Polis Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.
"Kedua-duanya telah ditahan reman selama dua hari sehingga 26 April 2026 dan telah diberi jamin polis," katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Rosdi, kes disiasat di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 kerana menceroboh landasan kereta api dan sekiranya sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda atau penjara.
Tambahnya, kertas siasatan telah ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwaraya pada 28 April untuk tindakan lanjut.





