Seorang ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 158 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM98.27 juta daripada dana NGO itu.
Fakhrudin Abd Karim, 57, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Prosiding membaca pertuduhan mengambil masa kira-kira dua jam apabila dua jurubahasa mahkamah bergilir-gilir membacakan kesemua pertuduhan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-149, Fakhrudin, yang ketika itu ditugaskan sebagai penandatangan diberi kuasa bagi akaun bank NGO Ikram Daerah Hulu Selangor, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana pertubuhan itu.
Transaksi berjumlah RM81.95 juta itu didakwa dipindahkan ke akaun sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya.
Bagi pertuduhan ke-150 hingga ke-158 pula, Fakhrudin didakwa mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana milik NGO sama ke dua akaun bank miliknya berjumlah RM16.32 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor, Bukit Beruntung, antara 6 Jan 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Fakhrudin diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan dan melarangnya mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Ogos.
Sebelum ini, media melaporkan dua individu daripada sebuah NGO direman sembilan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM230 juta.
SPRM turut dilaporkan menyita 18 kenderaan mewah, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, selain pelbagai harta alih termasuk wang tunai serta jam tangan berjenama.
Pihak berkuasa turut membekukan sebanyak 33 akaun bank membabitkan kira-kira RM120 juta.





