Sebuah kapal tangki melaporkan terdengar dua letupan di perairan Oman ketika melalui Selat Hormuz, menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada awal Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
UKMTO memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan yang lewat mengenai insiden yang berlaku kira-kira sembilan batu nautika (16.7 kilometer) di tenggara Kumzar, Oman.
Menurut laporan itu, nakhoda kapal tangki berkenaan mendengar bunyi letupan terbabit.
UKMTO berkata anak kapal dan kapal itu berada dalam keadaan selamat, manakala tiada kerosakan terhadap alam sekitar dilaporkan.
Pusat itu menasihati kapal yang melalui kawasan berkenaan supaya berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan di sekitar Selat Hormuz semakin memuncak susulan konfrontasi ketenteraan baru-baru ini antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Washington menggesa Tehran memastikan kebebasan pelayaran di laluan strategik itu, manakala Iran menegaskan bahawa perkapalan di perairan berhampiran pantainya tertakluk kepada pemantauan negara itu.
Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump berkata beliau membatalkan rancangan serangan ketenteraan terhadap Iran selepas usaha pengantaraan serantau, namun dakwaan itu dinafikan pegawai Iran yang turut menolak laporan bahawa satu perjanjian dicapai untuk membuka semula Selat Hormuz.





