ULASAN | Selepas Johor, Negeri Sembilan. Dua siri keputusan PRN memperlihatkan pertandingan sengit di antara BN – PN dengan PH di selatan tidak lagi boleh dibaca sebagai perkembangan yang berasingan.
Sebaliknya, ia menggambarkan suatu kesinambungan jelas sekali gus memberi petunjuk bahawa keseimbangan kuasa politik Melayu sedang memasuki penyusunan semula.
Dalam artikel sebelum ini, penulis menghujahkan bahawa kemenangan BN di Johor bukan sekadar kejayaan dalam sebuah PRN sebaliknya menjadi titik pemula kepada proses perluasan pengaruh politik yang bergerak secara berperingkat.
Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan BN dan Umno khususnya di sebuah negeri yang selama ini dianggap sebagai kubu penting politik Melayu yang berfikiran sederhana. Lebih daripada itu, Johor menjadi tapak awal kepada pengukuhan semula kuasa politik Melayu dan berpotensi berkembang ke negeri lain.
Keputusan PRN Negeri Sembilan baru-baru ini mengukuhkan lagi hujah tersebut. Jika Johor memperlihatkan potensi formula kerjasama longgar BN dan PN, Negeri Sembilan pula memperlihatkan kesan berganda kedua gabungan tersebut.
Negeri Sembilan mempunyai kedudukan strategik untuk PH – selain Selangor dan Pulau Pinang – dalam peta politik negara. Negeri yang sebelum ini dianggap antara kawasan yang memberikan kelebihan kepada PH hasil daripada struktur pengundi yang bercampur, kewujudan kawasan marginal serta pengaruh aktor politik tertentu.
Kekalahan Aminuddin Harun dan Anthony Loke membawa makna besar bahawa ‘Serangan dari Selatan’ bukan sahaja berjaya mengoyak-rabak imej kepimpinan PH, malah turut memberi kesan terhadap dua tokoh berprolfil itu yang selama ini menjadi tulang belakang gabungan tersebut.
Keputusan PRN juga menunjukkan bahawa kelebihan tersebut tidak lagi memadai untuk menahan kedudukan politik PH.
Perubahan yang berlaku menunjukkan kekuatan organisasi, pengaruh kepemimpin dan kelebihan kawasan semata-mata tidak mampu menghalang perubahan sentimen apabila persepsi mula berubah di lapangan.
Arus politik sebelum mengundi
Kekalahan PH di Negeri Sembilan menjadi lebih pedih dan menyakitkan kerana ia bukan sekadar kehilangan penguasaan negeri, malah kedudukan menteri besar yang pegang selama lapan tahun.
Lebih-lebih lagi keputusan tersebut berlaku dalam keadaan beberapa penganalisis politik dan badan penyelidikan bebas menjangkakan PH berdepan cabaran getir untuk mengekalkan kedudukannya.
Begitu pun dalam politik pilihan raya, ramalan bukan sesuatu yang bersifat mutlak. Sesebuah gabungan parti masih mempunyai ruang untuk mengubah keadaan dan suasana melalui kempen yang berkesan, menyusun semula strategi yang sukar dibaca pihak lawan bagi mencipta kejutan politik pada saat akhir.
Namun kenyataan penting dalam PRN Negeri Sembilan ialah kegagalan hampir total PH mencipta sebarang kejutan. PH tidak berjaya menafikan jangkaan awal, tidak berjaya mengubah keadaan permainan.

Malah PH tidak berjaya melawan arus politik yang telah terbentuk sebelum hari pembuangan undi.
Meskipun tewas gabungan tersebut setidak-tidaknya harus mencipta kejutan di beberapa kerusi serta memberikan tentangan sengit berdasarkan jurang undi yang tipis dan persaingan yang rapat di kawasan Melayu majoriti.
Tetapi ia tidak berlaku.
Sebaliknya, setiap keputusan seolah-olah mengukuhkan bacaan awal bahawa kecenderungan politik sedang bergerak ke arah kemenangan selesa BN dan PN khususnya di kawasan lingkaran Melayu. Kegagalan PH mematahkan arus tersebut menjadi petanda bahawa cabaran terhadap kedudukannya bukan lagi sekadar berkaitan PRN, tetapi melibatkan perubahan mod politik yang langsung tidak dapat dikawal.
Dalam artikel terdahulu, penulis menggunakan konsep strategic conditioning untuk menjelaskan fenomena ini.
Cabaran pertahankan imej
Ia merujuk kepada proses membentuk keadaan politik sebelum pertempuran sebenar berlaku. Dalam politik, kemenangan tidak hanya ditentukan pada hari mengundi, tetapi dibina lebih awal melalui proses membentuk persepsi, mencipta momentum dan meningkatkan keyakinan bahawa sesuatu blok berada dalam kedudukan lebih kuat serta tersusun gerak kerjanya.
BN yang berjaya melakukan strategic conditioning tidak semestinya perlu menyerang lawan secara agresif sepanjang masa. Sebaliknya, mereka membentuk keadaan politik sehingga lawan (PH) memasuki pertandingan dalam posisi yang kurang memihak dan tidak menguntungkan.
Misalnya keadaan pergolakan dalaman PKR dan sentimen anti-DAP.
Dalam politik, peranang persepsi sering menjadi sebahagian daripada realiti. Parti yang dilihat sedang meningkat naik lebih mudah membina keyakinan penyokong dan menggerakkan jentera yang tersusun.
Sebaliknya, parti yang kehilangan rangsangan dan dorongan akibat kekalahan sebelum ini akan berhadapan tekanan untuk menjelaskan tawaran yang lebih baik.

Kekalahan di Negeri Sembilan tidak boleh dilihat hanya sebagai krisis kepercayaan pengundi Melayu semata-mata, tetapi gambaran tekanan politik yang semakin memuncak terhadap PH.
Ia datang dari beberapa arah penjuru. Selepas membentuk kerajaan, PH berhadapan cabaran untuk mempertahankan imej sebagai kuasa perubahan yang menjadi asas sokongan mereka sebelum ini.
Naratif reformasi yang pernah menjadi identiti perlu berhadapan realiti pemerintahan, kompromi politik dan tuntutan pelbagai kelompok yang dinamik menjadikannya perlahan dan sukar direalisasikan.
Pada masa sama, PH semakin ditekan oleh kebangkitan politik identiti. Dalam struktur politik Malaysia, isu Melayu, Islam yang didakwa semakin terancam dan tuduhan dominasi DAP dalam kerajaan merupakan antara elemen yang mempunyai daya tarikan kuat serta persona dalam membentuk psikologi pengundi.
Digambarkan sebagai musuh utama
Perkembangan politik identiti telah membentuk suatu pasaran politik (political market) yang dominan, membolehkan BN dan PN ‘menggembleng sehabis kuat’ pengaruh identiti sebagai strategi pemasaran politik yang berkesan bagi menaikkan sokongan pengundi yang kebanyakannya terasuh dengan persekitaran politik identiti.
Politik identiti menjadi isu yang ‘seksi’ kerana ia terkait emosi, rasa kepunyaan serta rasa dilindungi terhadap kehidupan politik sesuatu kelompok.
Politik identiti seperti yang dihujahkan oleh saintis politik, Francis Fukuyama, terbentuk dalam jelmaan yang tidak lain merupakan sejenis politik penegasan dan pengukuhan identiti kelompok, kaum dan agama yang mengandungi kecenderungan serta semangat menolak kumpulan lain, bahkan sukar bertolak ansur terhadap perbezaan kepelbagaian.
Gelombang anti-DAP sebagai instrumen politik untuk melemahkan pandangan terhadap gabungan berkenaan, khususnya dalam kalangan sebahagian besarpengundi Melayu.
Walaupun DAP hanya satu daripada parti komponen dalam PH, imej parti tersebut sering dilambangkan sebagai musuh utama (semacam ketakutan terhadap komunis) oleh lawan politik untuk membentuk gambaran lebih besar terhadap gabungan itu dikuasai golongan minoriti atau bukan Melayu.
Selain itu, BN dan PN dapat membaca realiti bahawa pilihan raya bukan hanya ditentukan oleh prestasi pentadbiran, tetapi lebih dikuasai pertarungan identiti.

Dalam keadaan ini, cabaran PH bukan sahaja bagaimana mengurus pentadbiran kerajaan, tetapi bagaimana mengawal naratif yang mampu menandingi kekuatan politik identiti yang dicetuskan oleh pihak lawan.
Kelicikan strategi Umno bawah kendalian Ahmad Zahid Hamidi terletak pada keupayaannya mengelakkan BN daripada dilihat terlalu agresif memainkan politik identiti.
Sebaliknya, perananan tersebut banyak ditonjolkan PN (ceramah MB Kedah, Sanusi Mohd Nor) yang secara konsisten mengangkat isu Melayu Islam, sekali gus membentuk persekitaran politik yang turut menguntungkan BN.
Hasilnya, PN berfungsi sebagai penggerak utama sentimen identiti, manakala BN pada satu segi cuba menonjolkannya sebagai pilihan yang lebih sederhana, stabil dan berpengalaman.
Berubah secara ketara
Pembahagian perananan ini membolehkan kedua-dua gabungan memperkukuh pengaruh dalam pasaran politik Melayu tanpa perlu membentuk kerjasama secara rasmi.
Kegagalan menghasilkan naratif balas yang berkesan boleh mengakibatkan PH terus berada dalam posisi defensif dan hambar menjelang PRU ke-16.
Sebenarnya, kebangkitan politik kanan atau fenomena far-right memuncak sejak PRU 2018 lagi dan masih gagal ditangani serta diurus sebaiknya. Malah politik identiti kian merebak sejak PH menjadi teras kerajaan dan seolah dibiarkan tanpa perencanaan khusus untuk mengendurkannya.
Jika keadaan ini berterusan, PH berisiko mengalami kelumpuhan politik. Bukanlah bermaksud kehilangan keseluruhan pengaruh, tetapi kehilangan keupayaan untuk menentukan dasar, mencipta naratif dan mengubah pendirian pengundi.
Pada masa sama, perkembangan politik semasa memperlihatkan kecenderungan formula kerjasama BN-PN yang lebih komprehensif selepas ini.
Sebelum ini, perpecahan sokongan antara blok politik Melayu sering memberikan ruang kepada PH bernafas. Namun apabila berlaku penyelarasan strategi antara BN dan PN, keadaan persaingan berubah secara ketara.
Johor memperlihatkan potensi formula tersebut, sementara Negeri Sembilan memperlihatkan kesannya.
Ancaman terbesar kepada PH bukan lagi BN atau PN secara berasingan. Cabaran sebenar sekarang ialah kemungkinan kedua-dua blok tersebut boleh menguruskan perbezaan, menyusun kerjasama taktikal dan menggabungkan sokongan undi yang sebelum ini berpecah kepada pertandingan tiga blok atau penjuru.

Bayangkan sebuah gabungan politik (PH) terpaksa berhadapan dengan dua blok lawan (BN dan PN) serentak. Keadaan ini sudah memadai untuk meletakkan PH dalam kedudukan yang sangat sukar.
Dalam perkembagan berkaitan, perananan Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN wajar diberikan perhatian. Kebangkitan semula Umno di bawah pengaruhnya bukan sekadar mengembalikan kekuatan organisasi parti Melayu tertua itu, malah menghidupkan semula pandangan bahawa ia masih merupakan sebuah institusi politik yang malar segar, dan mempunyai kemampuan untuk kembali mendominasi politik Malaysia.
Dalam kerangka The Art of War ilham Sun Tzu, pihak yang berjaya menentukan keadaan sebelum pertempuran bermula mempunyai kelebihan strategik kerana lawan terpaksa bertindak dalam medan yang telah dibentuk oleh pihak tersebut.
Dalam konteks “serangan dari selatan”, kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan bukan hanya menawan kedua negeri, tetapi membentuk suasana politik sebelum memasuki PRN yang memberi kesan terhadap pertandingan.
Dalam konteks ini, Johor dan Negeri Sembilan boleh dibaca sebagai proses membentuk keadaan politik menjelang PRU ke-16.
Melaka pula dijangka muncul sebagai medan seterusnya yang perlu diberikan khusus.
Persoalannya ialah sama ada PH mempunyai strategi balas yang mampu menghentikan trajektori tersebut atau sekadar berdepan asakan politik yang semakin kuat.
Jika PH gagal menghasilkan perubahan besar dan mencetuskan faktor luar biasa terhadap keadaan politik semasa, apa yang berlaku mungkin bukan lagi sekadar strategi PRN, tetapi sebahagian daripada proses penyusunan semula kuasa politik di Semenanjung.
Secara semula jadinya, DNA Umno-BN merupakan sebuah gabungan politik yang sentiasa ingin menguasai, bukannya sekadar pelengkap untuk berkongsi struktur kuasa. Mereka tidak selesa sekiranya mereka bukan ketua!
MOHD AZIZI JAEH dan MUHAMMAD HELMI OTHMAN merupakan pemerhati politik dan lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





