Fast Track Entertainment (FTE) tampil memperkenalkan LAUNCHPAD, sebuah platform yang memberi fokus kepada pembangunan artis menerusi persembahan secara langsung dan kerjasama strategik di rantau Asia Tenggara.
Artikel Berkaitan: Amazon MGM & Sony Pictures Entertainment Malaysia, Bakal Adakan Masters Of The Universe Drone
Artikel Berkaitan: Selepas Lebih Dua Dekad Tanpa Karya Solo, Yusry Kembali Dengan Lagu Baharu ‘Jiwa & Raga’
Launchpad

Dilancarkan dengan kerjasama Sony Music Malaysia, inisiatif tersebut bukan sekadar menyediakan pentas buat artis membuat persembahan malah menjadi medium untuk membina jaringan bersama pemain industri, rakan media dan jenama sekali gus memperluaskan peluang kerjaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Entertainment, Harris Lim berkata, industri hiburan memerlukan lebih banyak platform yang mampu membantu artis menembusi pasaran baharu sekali gus memperluaskan capaian ke peringkat antarabangsa.
LAUNCHPAD merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan visi kami untuk membina ekosistem hiburan yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara.
Kami percaya seseorang artis dapat berkembang dengan lebih cepat apabila mereka dapat berhubung secara langsung dengan audiens baharu menerusi pengalaman persembahan secara langsung yang istimewa.
Harris berkata demikian ketika ditemui pada sidang media LAUNCHPAD yang berlangsung di PJ Performing Arts Centre, One Utama.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran artis antarabangsa iaitu KIIRAS dari Korea Selatan, UPRIZE dari Vietnam serta Yusry Abdul Halim yang mewakili Malaysia.
Mengulas lanjut, Harris menjelalaskan peluang membuat persembahan di hadapan penonton dari pelbagai negara bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada artis malah membantu mereka membina pengaruh serta memperluaskan kelompok peminat.
Menerusi siri persembahan eksklusif berskala intim, LAUNCHPAD merealisasikan visi ini dengan menghubungkan artis bersama peminat, media, jenama dan rakan industri.
Kami membuka peluang komersial baharu yang mempercepatkan perkembangan artis dan meluaskan pengaruh mereka ke pasaran serantau di luar negara asal.
Ini hanyalah permulaan dan kami harap dapat terus mengembangkan LAUNCHPAD ke seluruh rantau ini.
Berbeza dengan konsep konsert berskala besar, LAUNCHPAD mengetengahkan showcase yang lebih eksklusif bagi mewujudkan hubungan lebih dekat antara artis dan peminat.
Pada masa sama, setiap penganjuran turut diperkukuhkan menerusi kandungan digital, promosi media serta kerjasama bersama pelbagai jenama.
Difahamkan, siri showcase LAUNCHPAD akan diperluaskan ke beberapa negara Asia Tenggara bermula penghujung tahun ini hingga awal 2027 bagi memberi peluang kepada lebih ramai artis menembusi pasaran serantau.
Menerusi platform itu, Fast Track Entertainment berharap lebih ramai bakat dari rantau ini dapat memperluaskan karya mereka ke pasaran antarabangsa sekali gus membuka peluang untuk berkolaborasi dengan artis dari pelbagai negara pada masa akan datang.
The post Fast Track Entertainment Lancar LAUNCHPAD, Buka Laluan Artis Asia Tenggara Ke Pentas Antarabangsa first appeared on OHBULAN!.





