Tahlil arwah bukan sebahagian daripada syariat Islam dan tiada nas sahih yang khusus daripada Rasullullah mengenai amalan itu, kata Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali.
Dia berkata demikian selepas menerima kecaman apabila memuat naik video memaparkan seolah-olah mengadakan majlis tahlil arwah bersama sekumpulan individu.
Kapsyen pada video berkenaan berbunyi “Tengah tahlil atas pemakaman Loke di DUN Chennah”.
"Soalan saya kepada mereka yang begitu lantang menuduh saya keji menghina agama, adakah amalan kenduri arwah itu rukun Islam? Adakah ia syariat yang ada nas sahih yang khusus dari Rasulullah SAW? Jawabnya jelas, tidak.
"Jika ada, sila kemukakan pada saya agar kita boleh rujuk bersama.
"Jadi, bagaimana mungkin saya dituduh menghina kesucian agama Islam kalau ia tidak menyentuh langsung soal rukun Islam atau apa yang tertera pada nas dan syariat islam?
“Siapa sebenarnya yang memperalatkan agama di sini?" soalnya dalam hantaran di media sosial.
Terdahulu, Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas hantaran itu yang disifatkannya “tidak bertanggungjawab” dan berisiko mencemarkan imej Islam sebagai agama yang menganjurkan rasa hormat dan menjaga maruah.

Naib pengerusi DAP Johor itu berkata majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak boleh diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik.
Menurutnya tindakan mempermainkan simbol dan amalan agama demi meraih perhatian atau keuntungan politik adalah perbuatan yang keji, tidak beretika dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
Sebelum ini, Jabatan Mufti Perlis berpandangan bahawa majlis tahlil yang melibatkan bacaan-bacaan tertentu serta tatacara khusus untuk memperingati si mati tidak pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa amalan tahlil, bacaan Surah Yasin dan kenduri arwah merupakan perkara khilafiah, iaitu isu yang mempunyai perbezaan pandangan yang diiktiraf dalam kalangan ulama.
Jabatan Mufti Selangor turut menyatakan bahawa amalan tahlil arwah termasuk dalam perkara khilafiah.
Menurut penjelasannya, tiada dalil khusus mewajibkan atau melarang tahlil arwah diadakan secara berjemaah atau beramai-ramai, selagi ia tidak dianggap sebagai suatu kewajipan agama.
Mengulas lanjut Wan Zuhir berkata mereka yang mahu mempertahankan Islam sepatutnya mempertahankan akidah dan syariatnya, dan bukan sekadar mempertahankan "tauke" apabial merasa kedudukan mereka tergugat.
"Pertahankanlah kalimah Allah yang di cetak di stoking. Pertahanlah nasib umat Melayu Islam yang ditekan secara senyap. Pertahankanlah syiar-syiar islam lain. Jangan hanya kerana “tauke” kamu rasa tergugat baru kamu mahu melantun?"soalnya.

"Hentikan menggunakan perkataan "menghina agama" secara murahan untuk membungkus dendam politik. Sila cermin diri sendiri. Allah sayang kepada hambaNya yang bertaubat (kembali ke pangkal jalan)," katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, Anthony Loke gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah bagi penggal keempat selepas tewas dalam persaingan sengit kepada calon MCA, Siow Kong Choon.
Siow memperoleh kelebihan 688 undi mengatasi Menteri Pengangkutan itu.
Kekalahan tersebut mendorong Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan dia telah memberikan yang terbaik meskipun berdepan serangan peribadi daripada pihak lawan.





