Dalam dunia hiburan, hubungan persahabatan sering menjadi perhatian apabila timbul isu pengkhianatan, salah faham atau individu yang dianggap sebagai ‘musuh dalam selimut’.
Malah, kesibukan bekerja dan persaingan dalam industri kadangkala boleh menyebabkan hubungan yang kelihatan baik di hadapan tidak semestinya sama di belakang.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Kamal Adli Belajar Minta Maaf Kepada Diri Sendiri, Akui Mental & Tubuh Dah Penat – ‘Saya Seorang Yang Gagal Sebagai Manusia, Ketua…’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Co-Parenting’ Bersama Kamal Adli Terima Reaksi Positif, Uqasha Senrose Akui Masih Belajar Jadi Ibu – ‘Apa Saja Yang Terbaik Saya Ikut’
Lebih Suka Berterus-Terang
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA kali ini, pelakon, Kamal Adli mempunyai cara tersendiri dalam menangani sebarang rasa tidak puas hati dalam lingkungan persahabatan dan kerjayanya.
Ketika ditanya sama ada pernah berdepan situasi musuh dalam selimut, Kamal berkata dia tidak terlalu menyedari perkara tersebut kerana lebih selesa bersikap berterus terang.
Saya rasa tak juga kot sebab saya jenis yang ‘direct’. Apa yang saya rasa tak okay, saya memang akan terus bercakap.
Alhamdulillah, lingkungan kawan-kawan saya bukan jenis macam itu. Mereka semua berfikiran logik. Kalau ada rasa tak puas hati, kita akan bercakap secara terus sebab kita mahu berkawan lama, lebih-lebih lagi apabila melibatkan urusan kerja.
Bagaimanapun, Kamal tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang bercakap mengenai dirinya di belakang.
Mungkin ada yang bercakap di belakang, tetapi itu bukan perkara pelik. Cuma saya tak sedar kalau orang itu sebenarnya musuh.
View this post on Instagram
Pilih Luangkan Masa Bersama Anak
Berkongsi caranya menjalani kehidupan dengan lebih berhati-hati, Kamal berkata dia bukan seorang yang gemar keluar melepak atau menghabiskan masa tanpa tujuan.
Sebaliknya, sekiranya tidak mempunyai urusan kerja, dia lebih memilih untuk berada di rumah atau bermain bola.
Sebenarnya kalau saya tak ada apa-apa, saya memang duduk di rumah saja atau main bola.
Tak ada nak keluar melepak dan menghabiskan masa.
Sejak bergelar bapa, fokus Kamal juga kini lebih tertumpu kepada keluarga, terutama dalam memastikan setiap masa terluang dapat diluangkan bersama anaknya.
Lebih-lebih lagi sekarang sudah ada anak. Fokus saya sekarang, kalau ada masa terluang memang saya akan luangkan bersama anak.
Kalau kawan-kawan ajak lepak, saya akan ikut juga. Tetapi tengok pada masa dan mood.
Bagi Kamal, komunikasi secara terus menjadi antara cara terbaik untuk mengelakkan salah faham, selain memilih untuk menumpukan perhatian kepada keluarga, kerjaya dan perkara yang lebih penting dalam kehidupannya.
The post POV XTRA: ‘Mungkin Ada Cakap Belakang, Tapi Saya Tak Sedar Dia Musuh’ – Kamal Adli Tak Layan Drama, Pilih Keluarga & Kerja first appeared on OHBULAN!.





