Semakin menghampiri usia 40 tahun, ramai mula lebih sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan, mengurus tekanan serta merancang kewangan untuk jangka masa panjang.
Bagi pelakon dan usahawan Aeril Zafrel, fasa tersebut bukan sekadar mengenai pertambahan usia, sebaliknya masa untuk seseorang lebih berdisiplin dalam menjaga diri serta mencari keseimbangan antara kesihatan fizikal, emosi dan kewangan.
Artikel Berkaitan: #TriviaXTRA: Jarang Kongsi Di Media Sosial, Aeril Zafrel Rupanya Suka Berkebun & Masuk Hutan
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Dulu Dapat RM1 Juta Terus Nak Berbelanja, Aeril Zafrel Kini Lebih Risau Nak Bayar Gaji 50 Pekerja
Jangan Biarkan Diri Terlalu Tertekan
#TipsXTRA merupakan segmen yang mengetengahkan perkongsian, nasihat serta pandangan selebriti mengenai kehidupan, kerjaya, hubungan dan pembangunan diri yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.
Bagi edisi #TipsXTRA minggu ini, Aeril berkongsi beberapa perkara yang dianggap penting buat golongan lelaki yang semakin menghampiri usia 40-an.
Bagi Aeril, antara perkara paling penting apabila semakin meningkat usia adalah memastikan kehidupan tidak sentiasa dibelenggu tekanan.
Lelaki yang menghampiri usia 40-an, paling utama dalam hidup jangan tertekan. Jaga kesihatan dan jaga makanan.
Makanan itu penting. Jadi dah kena mula kurangkan gula.
Pada masa sama, Aeril turut mengingatkan supaya seseorang tidak terlalu mudah terikut-ikut dengan trend makanan yang tular tanpa mengambil kira kesannya terhadap gaya hidup masing-masing.
Rajinkan diri untuk bersenam dan jangan terpedaya dengan makanan viral. Tidur pun kena cukup.
View this post on Instagram
Cari Hobi Yang Buat Diri Gembira
Tidak menafikan tekanan merupakan perkara yang pasti dilalui dalam kehidupan, Aeril percaya setiap individu perlu mempunyai aktiviti yang boleh membantu mereka berehat daripada kesibukan harian.
Setiap orang akan melalui tekanan. Tapi kalau kita tertekan, kena cari juga satu hobi yang boleh membuatkan kita gembira. Macam saya, berkebun, main badminton dengan rakan-rakan ataupun memancing.
Menurut Aeril, aktiviti sedemikian menjadi antara caranya mengimbangi tekanan dan memberi ruang kepada dirinya untuk menikmati kehidupan di luar rutin kerja.
Sebab hormon gembira itu yang akan neutral semula stres itu. Jadi sampai sekarang saya tetap buat perkara-perkara tersebut.
Dalam masa sama, pelakon itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan pemeriksaan kesihatan berkala.
Rajin-rajinlah periksa darah.
Jangan Campurkan Semua Duit Dalam Satu Akaun
Selain kesihatan fizikal dan emosi, Aeril turut menyentuh soal kewangan apabila seseorang semakin menghampiri usia 40 tahun.
Menurutnya, keperluan sememangnya perlu didahulukan berbanding kemahuan, namun aspek simpanan juga tidak seharusnya diketepikan.
Semestinya orang akan mengutamakan keperluan berbanding kemahuan, tapi sekurang-kurangnya perlu ada simpanan juga, contohnya di Amanah Saham Bumiputera (ASB). Jangan satukan semua akaun kita. Kalau boleh, pisahkan akaun simpanan.
Buat Aeril, usia yang semakin matang bukan sahaja menuntut seseorang lebih menjaga tubuh badan, tetapi turut memerlukan keseimbangan dari segi emosi serta kewangan.
Kesihatan yang baik, mempunyai ruang untuk melakukan perkara yang disukai serta disiplin menyimpan wang mungkin kelihatan seperti perkara mudah, namun ia antara rutin yang dianggap Aeril penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Apa pula persediaan yang anda sudah mula lakukan menjelang usia 40-an?
The post #TipsXTRA: Usia 40 Bukan Masa Untuk ‘Relax’ Semata! Aeril Zafrel Kongsi 5 Perkara Lelaki Kena Jaga first appeared on OHBULAN!.





