32.2 C
Kuala Lumpur
Friday, September 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Di Sebalik Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay Kini Lebih Berhati-Hati – ‘Kurangkan Cerita Goal Kepada Orang Kerana…’

    Shopee Sale

    Semakin lama seseorang berada dalam industri, semakin banyak perkara yang dipelajari bukan hanya tentang kerja, tetapi juga tentang manusia.

    Bagi Liyana Jasmay, pengalaman bertahun-tahun sebagai pelakon sebelum berkembang sebagai pengarah dan penerbit membuatkannya lebih berhati-hati tentang siapa yang dibenarkan berada dekat dengan perjalanan serta impiannya.

    ARTIKEL BERKAITAN: Liyana Jasmay Sentuh Sikap ‘Talam Dua Muka’, Akui Terkilan Datang Daripada Rakan Sendiri – ‘Kebersamaan Dalam Industri Ini Memang Tiada’

    ARTIKEL BERKAITAN: Pemuja Syaitan Bakal Tayang 15 Oktober, Himpunkan Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar & Aila Azizul

    Kurangkan Cerita Goal Kepada Orang

    Baru-baru ini, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 itu menarik perhatian menerusi satu luahan di Threads apabila mendakwa pernah berdepan situasi individu yang bersikap baik di hadapan, namun mempunyai cerita berbeza apabila berada di belakangnya.

    Daripada terus memanjangkan rasa kecewa itu, Liyana memilih untuk mengambil pengalaman tersebut sebagai satu pelajaran.

    Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu arahannya, Pemuja Syaitan, Liyana berkata antara perkara terbesar yang dipelajarinya adalah tidak semua matlamat perlu dikongsikan kepada semua orang.

    Menurut pelantun lagu Cinta Bersatu ini, dia kini lebih selesa menyimpan perancangan bersama kakaknya serta individu yang benar-benar dipercayai.

    “Apa yang saya belajar, pertama sekali kurangkan menceritakan goal kita kepada orang lain.

    “Simpan untuk diri sendiri, kakak saya dan orang-orang yang kita percaya. Yang kedua, semua orang kena ada jarak. Kita kena tahu jarak dan tahu siapa yang kita percaya,” katanya.

    Bagi Liyana, pengalaman itu bukan bermaksud dia mahu menutup diri sepenuhnya.

    Sebaliknya, semakin matang dalam industri membuatkan dia sedar bahawa menjaga batas dan memilih lingkungan yang tepat juga sebahagian daripada melindungi proses kreatif sendiri.

    Apatah lagi apabila setiap idea, cerita atau projek memerlukan masa yang panjang sebelum akhirnya dapat diterjemahkan kepada penonton.

    Pernah Hanya Ada Satu Kerja Setahun

    Di sebalik perjalanan yang dilihat semakin berkembang hari ini, Liyana mengakui dia dan kakaknya pernah melalui fasa yang jauh lebih mencabar.

    Ada satu ketika, mereka yang mengusahakan rumah produksi Mermaid Studios hanya memperoleh satu pekerjaan dalam tempoh setahun.

    " data-video-id="7685743119073168647" style="max-width: 605px;min-width: 325px">
    @xtra_my Duduk di kerusi pengarah, Liyana Jasmay berkongsi sedikit ucapan sempena pelancaran filem Pemuja Syaitan. 🎬🔥 Apa yang korang paling teruja nak tengok dalam karya seram arahan Liyana kali ini? Kongsi pendapat di ruangan komen! Follow OHBULAN! dan XTRApedia untuk berita hiburan terkini. #xtramy #xtrapedia #xtrapediaKR ♬ original sound – XTRA

    Namun penolakan dan halangan tidak pernah membuatkan mereka berhenti menghasilkan idea.

    “Saya bangga sebab saya masih berada di sini. Dengan berapa banyak rejection dan halangan yang saya dengan kakak saya lalui, pernah juga kami hanya ada satu job setahun. Tapi kami tak pernah berhenti.

    “Kami tak pernah hilang kepercayaan bahawa kreativiti memang jalan yang terbaik untuk kami. Kami tak pernah berhenti cipta cerita dan karakter,” katanya.

    Pegangan itu juga datang daripada nasihat bapanya yang sentiasa mengingatkan supaya tidak berhenti berusaha atau mudah menyerah.

    Mungkin sebab itu, bagi Liyana, penolakan bukan lagi semata-mata tentang pintu yang tertutup.

    Kadangkala, ia menjadi ruang untuk seseorang melihat semula kelemahan dan kembali dengan sesuatu yang lebih baik.

    Rejection Buat Liyana Belajar Lebih Banyak

    Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2009 itu mengakui pengalaman ditolak berkali-kali sebenarnya banyak mengubah cara dia dan pasukannya mengendalikan sesebuah projek.

    MENARIK:  [VIDEO] Remaja Raih Perhatian, Guna Bahasa Isyarat Bantu ‘Translate’ Ceramah Ustaz Abdul Somad Buat Ibu Bapa – ‘Besar Pahala Kau Bang’

    Daripada memperbaiki cerita sehinggalah belajar cara membentangkan idea dan membuat pitch kepada pihak yang berpotensi menyokong sesebuah karya, setiap pengalaman menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran.

    “Banyak rejection buat kita improve dari segi cerita, macam mana kita bentangkan kepada pelanggan dan bagaimana kita nak pitch kepada penyumbang dana,” katanya.

    Perjalanan itu akhirnya menemukan Pemuja Syaitan dengan beberapa rakan industri. Filem tersebut diterbitkan oleh Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution, diedarkan oleh SKOP Productions, manakala Primeworks Studios bertindak sebagai Rakan Pemasaran.

    Liyana mengakui cukup bersyukur apabila ada pihak yang akhirnya memilih untuk percaya kepada cerita yang mahu dibawanya.

    View this post on Instagram

    A post shared by Primeworks Studios Film (@primeworksstudios.film)

    Menurutnya, kepercayaan Suraya Filem terhadap projek tersebut menjadi sesuatu yang amat dihargai selepas melalui begitu banyak pengalaman penolakan sebelum ini.

    Baginya, peluang semakin terbuka, tetapi seseorang tetap perlu berani menjadi orang pertama yang menggerakkannya.

    Diberi Peluang, Kini Mahu Beri Peluang

    Menariknya, pengalaman Liyana sendiri yang berkali-kali mahukan peluang turut mempengaruhi caranya memilih pelakon untuk Pemuja Syaitan.

    Menurutnya, industri tempatan mempunyai ramai pelakon berbakat yang mungkin sudah lama berkarya termasuk menerusi teater, tetapi masih belum cukup popular untuk diberikan watak besar.

    “Saya nak tunjuk sinema kita colourful. Malaysia ada banyak talent yang bagus tetapi orang tak beri perhatian.

    “Saya nak menjadi orang yang beri perhatian dan beri peluang, sebab saya sendiri pun mahu orang terus bagi peluang kepada saya,” katanya.

    Atas sebab itu, Liyana mengakui mengambil pelakon yang belum mempunyai populariti besar merupakan satu risiko.

    Namun dia percaya seseorang pelakon tetap memerlukan satu peluang untuk membuktikan kemampuan.

    View this post on Instagram

    A post shared by Skop Productions 🎥 (@skopofficial__)

    Pada masa sama, kehadiran Zul Ariffin dilihat sebagai antara nama yang menjadi ‘anchor’ kepada filem itu.

    Secara rasmi, Pemuja Syaitan diterajui Zul bersama Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan Aila Azizul, selain menghimpunkan barisan pelakon daripada latar serta generasi berbeza.

    Pemuja Syaitan, Satu Lagi Fasa Liyana

    Daripada seorang pelakon yang pernah dikenali menerusi karya-karya sewaktu usia muda, perjalanan Liyana kini sudah bergerak ke sisi lain industri.

    Sebagai pengarah, Pemuja Syaitan menjadi ruang untuknya membina dunia sendiri yang bukan hanya bergantung kepada elemen seram, tetapi turut bermain dengan rahsia, pengkhianatan dan sisi gelap manusia.

    Filem tersebut mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali bertemu di sebuah pulau terpencil sebelum penemuan semula sebuah kapsul masa membuka kembali rahsia yang telah lama tersimpan.

    Menariknya, dalam kehidupan sebenar pula, perjalanan menghasilkan karya itu turut mengajar Liyana sesuatu tentang kepercayaan.

    Bukan untuk berhenti mempercayai manusia, tetapi untuk lebih tahu siapa yang perlu berada dekat, bila sesuatu impian patut dikongsi dan bila lebih baik ia disimpan dahulu sehingga tiba masanya untuk diperlihatkan kepada dunia.

    Selepas segala penolakan, fasa sunyi dan pengalaman yang membuatkannya lebih berhati-hati, satu perkara yang Liyana masih pegang tidak berubah.

    Dia masih mahu mencipta. Dan apabila peluang akhirnya berada di tangannya, dia mahu membuka ruang yang sama kepada orang lain pula.

    The post Di Sebalik Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay Kini Lebih Berhati-Hati – ‘Kurangkan Cerita Goal Kepada Orang Kerana…’ first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah