Perkembangan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) semakin memberi kesan kepada pelbagai bidang, termasuk industri muzik yang kini turut menyaksikan penggunaannya dalam penghasilan melodi, lirik sehingga suara nyanyian.
Kemudahan yang ditawarkan teknologi tersebut sememangnya boleh membantu mempercepatkan proses kerja, namun dalam masa sama timbul persoalan mengenai kebergantungan terhadap AI serta sejauh mana kreativiti manusia masih perlu menjadi keutamaan.
Artikel Berkaitan: AI Boleh Buat Lagu Hit, Tapi Wajarkah Ia Bertanding Dengan Penyanyi & Komposer Berbakat Dalam Carta Muzik?
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Industri Lambat Hargai Artis Yang Tak Ikut ‘Standard’? Ini Pandangan Nadeera Zaini – ‘Tengok Pada Kualiti & Bakat’
Penggunaan AI Ada Baik & Buruk
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA hari ini, penyanyi Nadeera Zaini melihat penggunaan AI dalam industri muzik mempunyai sisi positif dan negatif, bergantung kepada bagaimana teknologi itu dimanfaatkan.
Menurut Nadeera, antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah kecenderungan generasi hari ini untuk terlalu bergantung kepada AI sehingga memudahkan hampir setiap tugasan yang dilakukan.
Bagi saya penglibatan AI dalam industri muzik ini terbahagi kepada dua, ada yang bagus dan tak bagus.
Yang tak bagus itu adalah AI ini meringankan kerja-kerja anak muda zaman sekarang. Kadang-kadang kita terlalu bergantung kepada AI untuk buat sesuatu kerja.
Tapi ada setengah bahagian AI ini membantu juga. Bagi saya kedua-dua itu memang kena pandai seimbang, gunakan di tempat yang betul.
View this post on Instagram
Nadeera Tolak Lagu Ciptaan AI?
Dalam pada itu, Nadeera turut ditanya sama ada dia bersedia menerima sesebuah lagu sekiranya karya yang diberikan oleh komposer dihasilkan dengan bantuan AI, tetapi mempunyai melodi serta lirik yang menarik.
Bagi pelantun lagu Bukan Lagi Kita itu, cara sesebuah lagu dihasilkan bukan satu-satunya perkara yang akan menentukan keputusannya.
Sebaliknya, kualiti lagu, kesesuaian lirik dan melodi dengan dirinya serta kemampuan untuk menyampaikan karya tersebut tetap menjadi pertimbangan utama.
Bergantung kepada kualiti. Saya bukan sekadar fikir AI nyanyi sedap, saya akan ambil, tidak.
Kena tengok lirik, melodinya sama ada sesuai atau tidak dengan saya. Kadang AI nyanyi sedap, saya nyanyi tak sedap.
Jadi saya kena teliti dahulu lagu itu betul-betul sebelum saya terima.
Pandangan Nadeera itu sekali gus menunjukkan penggunaan AI tidak semestinya perlu ditolak sepenuhnya dalam dunia muzik.
Namun, teknologi tersebut juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan kreativiti, penelitian dan identiti seseorang pengkarya atau penyanyi.
Dalam industri yang semakin berkembang seiring kemajuan teknologi, keseimbangan antara bantuan AI dan sentuhan manusia mungkin menjadi antara perkara paling penting untuk memastikan sesebuah karya bukan sahaja kedengaran menarik, tetapi turut mempunyai karakter serta jiwa tersendiri.
The post POV XTRA: AI Makin ‘Masuk’ Industri Muzik, Nadeera Zaini Bimbang Generasi Muda Terlalu Bergantung first appeared on OHBULAN!.





