Pengacara dan penulis lirik, Fedtri Yahya berkongsi pandangannya mengenai lirik lagu yang mempunyai unsur lucah dan tidak senonoh.
Artikel Berkaitan: Menteri Agama Tegur Lirik Lagu Berunsur Lucah – ‘Karya Seni Sewajarnya Disampaikan Dengan Adab & Nilai Murni’
Artikel Berkaitan: Fedtri Yahya Terharu, Ibu Dedah Anak Autistik Tiru Gaya Mengacara – ‘Baru Je Tahun Lepas Anak Saya Mula Bercakap’
Pandangan Fedtri

Ketika ditemui Fedtri atau nama lengkapnya Ahmad Fedtri Yahya, 45, mengakui setiap genre muzik mempunyai karakter masing-masing dan dangdut pada asalnya hanya menggunakan lirik yang murni meskipun mempunyai kiasan dalam lagu.
Namun, Fedtri tetap berasa kesal dengan pengkarya yang mencipta lagu berlandaskan elemen-elemen negatif.
Kebanyakkan dangdut Malaysia dahulu ia berlapik, mungkin kerana ada ketegasan dalam menapisan lagu. Tapi sekarang, kita baca lirik pun rasa segan.
Bayangkan kita bawa keluarga, kemudian penyanyi itu sebut perkataan double meaning. Double meaning ini satu sensitiviti yang besar untuk kita, memang secara terang-terangan ada unsur kelucahan.
Jadi sebagai pengkarya, saya marah. Tidak perlu buat perubahan dangdut seperti ini. Menteri Agama pun ada bersuara dan saya rasa perlu ada batasan kerana ia mengaibkan.
Tambah Fedtri lagi, dia juga bimbang dengan muzik dari negara seberang yang turut didakwa boleh memberi kesan terhadap pendengar dan industri seni di negara ini.
Sahabat kepada lagu adalah imaginasi. Kecewa juga kalau ada lagu dari seberang yang ada unsur-unsur tidak baik.
Dahulu ketika zaman 90-an lagu dangdut banyak tentang rindu dan cinta, itu sahaja.
Saya rasa mereka ada keperluan sendiri untuk viral dan diperkatakan, kemudian mengharapkan orang pula memaafkan tapi bagaimanapun, tetap perlu ketegasan.
Fedtri berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem The Voice of Hind Rajab yang berlangsung di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tindakan sewajarnya

Justeru, Fedtri berpendapat, pihak bertanggungjawab perlu melaksanakan sekatan terhadap mana-mana pengkarya yang menghasilkan seni bercanggah dengan agama dan nilai murni.
Bukan bermaksud mengokong tapi untuk beri kesedaran sahaja. Mungkin selepas dikenakan sekatan mereka akan lebih kembali membawa imej yang lebih baik.
Saya pernah bertanya kepada tokoh lirik seperti Datuk M Nasir dan Habsah Hassan mengenai rahsia di sebalik lirik yang hebat. Jawapan mereka adalah bermunajat kepada Ilahi untuk mendapatkan ilham.
Jadi, aliran negatif ini perlu ditukar kerana bimbang ia memberi kesan buruk kepada anak-anak kini yang mudah terpengaruh.
Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius isu penularan lagu yang didakwa berunsur lucah dan tidak senonoh.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan menerusi sebuah kenyataan, bertindak menegur pengkarya dengan menegaskan bahawa seni sewajarnya disampaikan dengan penuh adab dan nilai positif untuk memberi pengaruh baik.
The post ‘Sebagai Pengkarya, Saya Rasa Marah’- Fedtri Yahya Kecewa Lirik Lagu Berunsur Lucah Sewenangnya Dicipta first appeared on OHBULAN!.





