
Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa tidak mengambil hati dengan kritikan netizen apabila ada yang mendakwa aksinya terlalu berlebihan ketika membuat persembahan dengan bintang Korea Selatan, Jackson Wang dalam program Indonesia Idol, baru-baru ini.
Tidak berlebihan

Sebatas hubungan seorang kakak dan adik lelaki, Rossa, 46, menganggap aksinya itu tidak berlebihan dan apa yang dipersembahkan hanya sebahagian daripada penghayatan menerusi lagu yang disampaikan.
Apa yang dipersembahkan atas pentas hanya sebahagian daripada lakonan sahaja, ibaratnya sedang berlakon dalam sebuah filem. Gaya dan tarian yang dibuat mengikut rentak muzik.
Ada beberapa pergerakan yang kami sudah rancang lebih awal. Tetapi, banyak juga pergerakan dan aksi spontan.
Saya tidak berlebihan dan apa yang dipersembahkan hanya sebatas kawan atau mungkin ibarat seorang kakak dan adik sedang bernyanyi bersama.
Itu hanya untuk penghayatan ketika melakukan persembahan dan mustahil kami menyanyi berasingan. Jika ada yang kata saya berlebihan, pasti dia yang mahukan sebenarnya.
Rossa berkata demikian ketika ditemui di majlis Iftar Bersama Rossa anjuran Yayasan Prihatin Nasional yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Duta persahabatan

Tambah pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu lagi, ini bukan kali pertama dia berduet dengan bintang luar negara terutama Korea Selatan dan aksi sedemikian sudah sering dilihat oleh masyarakat Indonesia.
Kalau di Indonesia sendiri mereka sudah terbiasa melihat saya menyanyi sebegitu. Kebetulan kawan-kawan saya dari Korea Selatan juga ramai.
Jadi setiap kali mereka ini datang ke Indonesia sudah pasti mereka akan mencari saya. Di sana (Indonesia) saya sudah dianggap seperti duta persahabatan.
Dalam pada itu, Rossa turut memuji peribadi Jackson yang handal dalam tarian dan nyanyian.
Jackson seorang penyanyi yang sangat ‘energetic’, dia juga penari yang sangat bagus. Dia juga sangat terkenal. Jadi apabila diajak berduet dan menyanyi bersama, saya terbuka.
Terdahulu, Rossa dan Jackson selaku juri jemputan membuat persembahan di program Indonesia Idol menerusi lagu Tega.
Bagaimanapun beberapa aksi mesra seperti merangkul pinggang dan berpegang tangan mengundang rasa kurang senang segelintir netizen.
Konsert ‘Here I Am’

Dalam perkembangan terkini, Rossa bakal mengadakan konsert berskala besar iaitu ‘Here I Am’ yang bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Lebih teruja, konsert itu turut mengundang penyanyi terkenal Indonesia, Ariel Noah dan beberapa penyanyi tempatan seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique.
Harga tiket konsert ‘Here I Am’ bermula dari RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center, tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran.
Tiket boleh dibeli di platform www.ticket2u.com untuk pembelian secara online dan tiket korporat boleh berhubung terus dengan Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau mel [email protected].





