29 C
Kuala Lumpur
Friday, July 10, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kenapa Penyanyi Indonesia Tidak Pernah Jemu Kembali Ke Malaysia? Fabio Asher & Nadhif Basalamah Kongsi Sebabnya

    Shopee Sale

    Hubungan antara Malaysia dan Indonesia dalam dunia muzik bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak dahulu lagi, karya daripada negara jiran sentiasa mendapat tempat dalam hati pendengar tempatan, daripada era Chrisye, Dewa 19, Sheila On 7 hinggalah kepada gelombang baharu yang kini diterajui nama seperti Fabio Asher dan Nadhif Basalamah.

    Apa yang menarik, hubungan itu bukan lagi sekadar soal lagu yang menjadi siulan atau carta penstriman. Bagi ramai penyanyi Indonesia, Malaysia kini dilihat sebagai destinasi yang sentiasa memberi ruang untuk mereka kembali, berkongsi karya dan membina hubungan lebih rapat dengan peminat.

    ARTIKEL BERKAITAN: Fabio Asher & Nadhif Basalamah Kongsi Pentas Konsert Julai Ini

    ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kota Ini Tak Sama Tanpamu’ Gabungan Trio Berbakat Tiga Negara Serantau

    ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul Bakal Lancar Lagu Duet Bersama Fabio Asher Ciptaan Melly Goeslaw, Peminat Luah Rasa Teruja – ‘Confirm Mega!’

    Malaysia terus menjadi destinasi pilihan

    Setiap tahun, ada sahaja penyanyi Indonesia yang kembali mengadakan konsert di Malaysia. Malah, ada yang hadir lebih daripada sekali dalam tempoh setahun.

    Persoalannya, mengapa Malaysia terus menjadi antara destinasi pilihan mereka?

    Adakah kerana jumlah peminat yang semakin bertambah, kedudukan dua negara yang berdekatan atau wujud faktor lain yang membuatkan artis dari seberang sentiasa mahu kembali?

    Bagi Fabio Asher dan Nadhif Basalamah, jawapannya tidak boleh diukur melalui angka jualan tiket semata-mata.

    Menurut mereka, hubungan yang terjalin dengan pendengar di Malaysia berbeza kerana kedua-dua negara berkongsi bahasa, budaya dan cara menghayati muzik yang hampir sama.

    Fabio mengakui setiap kali menerima jemputan membuat persembahan di Malaysia, dia tidak pernah berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut.

    “Hampir setiap tahun saya datang ke Malaysia. Setiap kali kembali, sambutan yang diberikan sentiasa luar biasa. Kali ini lebih bermakna kerana dapat berkongsi pentas dengan Nadhif buat pertama kali,” katanya.

    Bagi Nadhif pula, Malaysia bukan sekadar lokasi persembahan.

    Sebaliknya, dia melihat setiap kunjungan sebagai peluang mengeratkan hubungan antara dua negara serumpun yang mempunyai latar budaya hampir sama.

    “Saya sentiasa seronok dapat kembali ke Kuala Lumpur. Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan. Muzik menjadi medium yang menghubungkan kita walaupun datang dari negara yang berbeza,” katanya.

    MENARIK:  Syed Saddiq Kongsi Video Dengan Keluarga, Netizen Tanya – ‘Itu Hantaran Ke? Get Ready Seminggu Lepas Raya’

    Namun apa yang paling mengejutkan Fabio bukanlah sambutan penonton ketika konsert berlangsung.

    Sebaliknya, dia mengakui peminat Malaysia mempunyai satu tabiat yang jarang ditemuinya di tempat lain.

    Menurut Fabio, pendengar di sini bukan hanya mengenali lagu-lagu popular seperti Bertahan Terluka, malah sanggup menyelami karya lain yang kurang mendapat perhatian di Indonesia.

    “Ada lagu yang di Indonesia tidak begitu mendapat sambutan, tetapi di Malaysia ramai yang hafal. Mereka benar-benar memahami setiap lirik dan mesej yang ingin saya sampaikan. Sebagai pemuzik, itu satu penghargaan yang sangat besar,” katanya.

    Perkara sama turut dirasai Nadhif apabila melihat bagaimana pendengar Malaysia memberi perhatian kepada setiap pilihan perkataan dalam lagunya.

    Menurutnya, ketika bekerjasama dengan Aziz Harun dan Aisha Retno menerusi lagu Kota Ini Tak Sama Tanpa Mu, dia menyedari perbezaan penggunaan perkataan seperti melintasi dan merentasi sebenarnya membantu pendengar memahami lagu itu mengikut budaya bahasa masing-masing.

    “Walaupun ada sedikit perbezaan bahasa, mesejnya tetap sampai. Di situlah saya sedar muzik mampu menyatukan kita kerana emosi tidak berubah walaupun perkataannya berbeza,” katanya.

    Konsert Rumah Hati satukan Fabio, Nadhif atas satu pentas

    Mungkin atas sebab itulah Malaysia menjadi lokasi yang dipilih untuk menyatukan Fabio dan Nadhif dalam sebuah persembahan buat pertama kali.

    Walaupun kedua-duanya pernah berkongsi acara di Indonesia, mereka mengakui belum pernah benar-benar berkolaborasi di atas pentas.

    Pertemuan sulung itu bakal direalisasikan menerusi konsert Rumah Hati di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai ini yang mengangkat tema Satu Rasa, Dua Cerita.

    Fabio turut memberi bayangan bahawa penonton bakal disajikan dengan susunan muzik baharu, visual berbeza serta beberapa kejutan yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini.

    Bagi Nadhif pula, harapannya cukup mudah. Dia mahu setiap penonton pulang bukan sekadar selepas menyaksikan sebuah konsert, tetapi membawa bersama pengalaman yang akan dikenang untuk tempoh yang lama.

    The post Kenapa Penyanyi Indonesia Tidak Pernah Jemu Kembali Ke Malaysia? Fabio Asher & Nadhif Basalamah Kongsi Sebabnya first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah