Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah membidas bekas diplomat Filipina Erlinda Fadera-Basilio dengan menyifatkan tuntutan sejarah Manila terhadap Sabah sebagai "tidak berasas, cacat dan sudah berkubur."
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengulas rencana terbaru Basilio, bekas Duta Filipina ke China dan diplomat kanan negara itu.
Dalam rencananya bertajuk "Sabah belongs to the Philippines", Basilio mengkritik kenyataan terdahulu Saifuddin berhubung strategi Filipina di Laut China Selatan.
Menurutnya, bekas menteri Malaysia itu melemahkan undang-undang antarabangsa apabila menasihatkan Filipina supaya "tidak terlalu bising" mengenai keputusan timbang tara bersejarah 2016 yang memihak kepada Manila dalam pertikaian dengan Beijing.

Basilio (gambar atas) turut mempertahankan penyerahan dokumen Filipina kepada Suruhanjaya Mengenai Had Pelantar Benua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CLCS) pada Jun 2024, yang melanjutkan garis dasar maritim negara itu dengan menggunakan Sabah, sebagai satu prosedur biasa berasaskan peraturan.
Pada masa sama, dia mengkritik Malaysia kerana membantah tindakan itu secara terbuka.
'Sabah tak dapat dipisah dari Malaysia'
Namun, Saifuddin pada kenyataan hari ini berterus terang mengenai pertikaian wilayah yang menjadi asas kepada polemik tersebut.

"Walaupun dia berhak menyuarakan pandangannya, sebagaimana saya berhak menyuarakan pandangan saya, isu tuntutan terhadap Sabah sentiasa menimbulkan rasa tidak senang yang mendalam kepada saya," kata Saifuddin.
"Kedudukan Malaysia sentiasa jelas dan tidak berbelah bahagi: Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tuntutan asing terhadap Sabah."
Saifuddin mengingatkan Manila bahawa isu kedaulatan Sabah telah diselesaikan lebih enam dekad lalu menerusi proses demokrasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

"Lebih penting, rakyat Sabah telah menggunakan hak menentukan nasib sendiri menerusi proses Suruhanjaya Cobbold," katanya sambil menegaskan negeri itu kekal menjadi "sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dari Malaysia."
Pertikaman lidah itu tercetus susulan wawancara eksklusif Malaysiakini bersama Saifuddin sebelum ini, yang menyentuh isu keselamatan serantau serta pertikaian berterusan di Laut China Selatan.
Dalam wawancara itu, Saifuddin turut mengulas ulang tahun ke-10 keputusan timbang tara Laut China Selatan pada 12 Julai 2016 yang diputuskan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Keputusan itu, yang berpunca daripada prosiding timbang tara dimulakan secara unilateral oleh Filipina, menolak tuntutan meluas China menerusi "sembilan garisan putus-putus" yang merangkumi kira-kira 90 peratus Laut China Selatan.

Beijing pula mengisytiharkan keputusan itu sebagai terbatal dan tidak sah serta mendakwa ia tidak mempunyai kesan dari sudut undang-undang dan tidak mampu menyelesaikan pertikaian kerana tribunal berkenaan bertindak melampaui bidang kuasanya.
Walaupun Filipina kebelakangan ini sekali lagi membangkitkan isu berkenaan di beberapa platform antarabangsa dan Asean, Saifuddin bersetuju tindakan Manila itu telah meningkatkan pergeseran geopolitik, mengeruhkan ketegangan serantau serta membuka ruang campur tangan kuasa luar.
Saifuddin berkata pendirian Malaysia kekal tidak berubah, khususnya dalam mematuhi UNCLOS, menolak sembilan garisan putus-putus dan menegaskan pertikaian yang membabitkan kuasa luar perlu ditangani secara bersama melalui Asean, bukannya secara unilateral.
Basilio membantah pandangan itu dalam rencananya dengan menulis bahawa kestabilan serantau yang dibina atas "penindasan terhadap kebenaran undang-undang" hanyalah satu gencatan rapuh.

Dia turut menuduh Malaysia melanggar norma Asean apabila mengkritik secara terbuka strategi maritim negara jiran.
Bagaimanapun, Saifuddin mematahkan hujah Basilio dengan menyatakan tindakan unilateral Manila di PBB pada Jun 2024 sebenarnya menggugat hubungan dua hala.
"Sama ada tuntutan Filipina itu masih aktif atau tidak, Basilio sendiri mengakui bahawa luka lama berkaitan pertikaian wilayah sedang dibuka semula melalui penyerahan dokumen Filipina kepada Suruhanjaya Mengenai Had Pelantar Benua. Perkara itu sendiri boleh menjadi faktor yang menggugat kestabilan," kata Saifuddin.
Dia mengulangi bahawa Malaysia kekal komited memupuk hubungan baik dengan negara jiran serta memperkukuh kerjasama membina dalam Asean, namun tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan wilayah.
"Komitmen kami terhadap kerjasama serantau tidak akan sesekali mengorbankan kedaulatan negara."
Mengakhiri kenyataannya, Saifuddin mempertahankan keputusannya untuk bercakap secara terbuka mengenai isu itu.
"Akhir sekali, saya percaya kepada kebebasan bersuara, termasuk kebebasan untuk ditemu bual oleh media."





