28.5 C
Kuala Lumpur
Friday, July 10, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | PRN Johor : Bossku, simpati dan harga sebuah amanah

    Shopee Sale

    Dalam politik, simpati ialah emosi yang paling mudah mempengaruhi manusia. Lebih-lebih lagi apabila seseorang pemimpin yang pernah berkuasa dilihat sudah menjalani hukuman penjara, mempunyai keluarga yang terus mempertahankannya dan masih disokong sebahagian penyokong yang setia.

    Datuk Seri Najib Razak bukan lagi sekadar seorang bekas perdana menteri. Beliau telah menjadi simbol pertembungan antara dua naratif. Pertama, naratif bahawa beliau menjadi mangsa politik.

    Kedua, naratif bahawa beliau ialah contoh terbesar bagaimana penyalahgunaan amanah boleh membawa kesan berpanjangan kepada negara.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuka kembali perdebatan itu. Ada yang menjadikan slogan "Bebaskan Najib" sebagai sentimen politik. Tidak kurang juga yang menganggap segala jasa beliau sebagai perdana menteri mengatasi segala kontroversi yang berlaku sepanjang pentadbirannya.

    Namun persoalan yang jauh lebih besar ialah, adakah rasa simpati boleh mengatasi tanggungjawab kita mengingati apa yang sebenarnya berlaku kepada negara?

    Nah! Mahkamah telah menjatuhkan hukuman terhadap Najib Razak dalam kes SRC International selepas melalui proses perbicaraan yang panjang sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

    Pada masa sama, skandal 1MDB pula meninggalkan beban kewangan yang masih ditanggung kerajaan sehingga hari ini. Dua hakikat ini tidak boleh dipisahkan apabila rakyat membuat penilaian terhadap sejarah pentadbiran beliau.

    Sebagai manusia, kita tidak salah untuk berasa simpati. Tiada siapa mahu melihat seseorang menjalani hukuman penjara, apatah lagi seorang bekas perdana menteri yang pernah memimpin negara hampir sedekad.

    Namun sebagai rakyat, kita juga memikul satu tanggungjawab yang lebih besar, iaitu memastikan rasa simpati tidak memadamkan ingatan terhadap harga yang telah dibayar oleh negara akibat penyalahgunaan amanah.

    Persoalannya bukan sama ada kita kasihan kepada Najib atau tidak. Persoalannya ialah, adakah rasa simpati itu begitu besar sehingga kita sanggup melupakan kesan skandal 1MDB, SRC International, isu melibatkan Felda serta naratif derma Arab yang akhirnya ditolak melalui proses kehakiman?

    Sebelum 1MDB, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara membangun yang stabil, memiliki institusi kewangan yang dihormati serta ekonomi yang berkembang pesat.

    Namun selepas skandal 1MDB meletus, nama Malaysia menghiasi muka depan media antarabangsa bukan kerana kejayaan ekonominya, sebaliknya kerana dikaitkan dengan salah satu skandal kewangan terbesar dunia.

    Siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg dan beberapa negara lain. Aset bernilai berbilion ringgit dirampas, kapal layar mewah disita, hartanah dilucut hak dan wang dikembalikan melalui proses perundangan antarabangsa.

    Lebih malang, dunia mula melihat Malaysia sebagai contoh bagaimana sebuah dana pelaburan strategik negara boleh menjadi bahan siasatan rentas sempadan.

    Reputasi negara yang dibina selama puluhan tahun tercalar. Keyakinan pelabur terjejas. Institusi kewangan negara dipersoalkan. Kesan terhadap imej Malaysia bukan berlaku sehari dua, malah mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.

    Hutang yang ditanggung rakyat

    Ramai beranggapan skandal 1MDB sudah selesai apabila beberapa individu didakwa dan kerajaan bertukar. Hakikatnya, apa yang tinggal ialah hutang.

    Sehingga hari ini, kerajaan masih menanggung komitmen kewangan berkaitan 1MDB yang dianggarkan sekitar RM50 bilion melalui pelbagai obligasi, jaminan kerajaan dan penyelesaian hutang.

    RM50 bilion mungkin sekadar angka di atas kertas. Tetapi apabila dibahagikan kepada kira-kira 35 juta penduduk Malaysia, ia bersamaan hampir RM1,430 bagi setiap rakyat Malaysia.

    Jika diambil sebuah keluarga yang mempunyai lima orang ahli, jumlah itu menghampiri RM7,150.

    Sudah tentu kerajaan tidak mengutip RM1,430 daripada setiap individu. Namun wang untuk membayar hutang itu datang daripada sumber yang sama hasil cukai, dividen syarikat berkaitan kerajaan, hasil petroleum dan pendapatan negara.

    Setiap ringgit yang digunakan untuk melangsaikan hutang lama ialah satu ringgit yang tidak boleh digunakan untuk membina hospital baru, sekolah baru, rumah mampu milik, menaik taraf jalan raya atau menambah bantuan kepada golongan miskin.

    Inilah harga sebenar apabila amanah negara dikhianati. RM50 bilion yang boleh mengubah kehidupan rakyat. Bayangkan jika RM50 bilion itu digunakan untuk perkara lain.

    Berpuluh hospital moden boleh dibina. Ratusan sekolah usang boleh digantikan dengan bangunan baharu. Puluhan ribu rumah mampu milik boleh disediakan kepada rakyat.

    Jaringan pengangkutan awam boleh diperluaskan ke bandar-bandar kecil. Program bantuan tunai kepada rakyat boleh dipertingkatkan. Semua itu bukan angan-angan.

    Tetapi peluang yang terpaksa dilepaskan kerana kerajaan perlu menanggung liabiliti yang ditinggalkan. Inilah kos yang jarang dibincangkan apabila ada yang mengajak rakyat melupakan episod 1MDB.

    Kes SRC International pula membawa makna yang lebih besar daripada jumlah RM42 juta yang menjadi pertuduhan. Ia ialah soal amanah.

    Najib Razak disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi. Sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan akhirnya diputuskan kekal oleh Mahkamah Persekutuan.

    Perlu ditegaskan, ini bukan keputusan seorang hakim.

    Ia melalui tiga peringkat kehakiman yang menilai ribuan muka surat dokumen, keterangan saksi dan hujah kedua-dua pihak.

    Dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, keputusan mahkamah tertinggi perlu dihormati walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengannya.

    MENARIK:  Muhyiddin: Ucapan di Nenggiri suatu fakta

    Selama bertahun-tahun, antara hujah paling kerap digunakan untuk mempertahankan Najib ialah dakwaan bahawa wang yang masuk ke akaun peribadinya merupakan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

    Naratif itu diulang berkali-kali dalam ceramah politik dan media sosial sehingga ada yang menganggapnya sebagai fakta. Namun apabila perkara itu diuji di mahkamah, keputusannya berbeza.

    Hikayat kisah dongeng

    Malah dalam rekod pembelaan saman sivil SRC bertarikh 22 Januari 2026, Najib sendiri mengakui bahawa RM42 juta yang menjadi subjek pertuduhan SRC bukanlah derma daripada Arab Saudi.

    Pengakuan itu membawa implikasi besar kerana ia bercanggah dengan naratif yang pernah dipertahankan selama bertahun-tahun.

    Mahkamah Tinggi dalam kes SRC pada tahun 2020 memutuskan bahawa pembelaan mengenai derma Arab tidak meyakinkan dan direka-reka. Mahkamah mendapati wang RM42 juta itu berasal daripada SRC International dan bukannya daripada mana-mana derma Arab.

    Mahkamah Rayuan pada tahun 2021 pula menyatakan tiada bukti wang itu datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi. Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menyifatkan kisah mengenai derma Arab itu lebih menyerupai sebuah kisah dongeng daripada Hikayat Seribu Satu Malam.

    Mahkamah Persekutuan kemudian mengekalkan dapatan tersebut dan menyimpulkan bahawa pembelaan mengenai derma Arab tidak konsisten, tidak boleh dipercayai serta gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Dalam perbicaraan berasingan melibatkan 1MDB, Mahkamah Tinggi turut memutuskan bahawa empat surat yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan derma Arab adalah palsu.

    Mahkamah menyatakan surat-surat itu hanyalah salinan fotostat dan bukannya dokumen asal, manakala wang yang dipersoalkan dibuktikan berasal daripada dana 1MDB.

    Empat prosiding mahkamah. Empat penelitian terhadap bukti. Satu kesimpulan. Naratif derma Arab tidak diterima oleh mahkamah.

    Maka apabila masih ada pihak yang mengulanginya seolah-olah ia telah dibuktikan benar, rakyat perlu bertanya sama ada mereka memilih untuk mempercayai naratif politik atau keputusan yang lahir daripada proses kehakiman.

    Begitu juga dengan isu melibatkan Felda. Sejak diasaskan 70 tahun lalu, Felda bukan sekadar sebuah agensi kerajaan.

    Ia adalah simbol perjuangan ratusan ribu keluarga peneroka yang membina kehidupan melalui hasil titik peluh mereka sendiri.

    Sebarang salah guna yang melibatkan institusi sebesar FELDA bukan sekadar soal wang, tetapi soal kepercayaan terhadap institusi yang diwujudkan untuk membela rakyat.

    Amanah itu tidak boleh dipandang ringan. Simpati ada batasnya Sebagai manusia, kita memahami mengapa ada penyokong Najib yang mahu beliau dibebaskan.

    Mereka melihat jasa beliau. Mereka melihat pengorbanan keluarganya. Mereka melihat penderitaan yang sedang dilaluinya. Semua itu wajar dihormati. Namun negara tidak boleh dibina atas asas simpati semata-mata.

    Jika setiap pemimpin yang disabitkan kesalahan akhirnya dimaafkan hanya kerana mempunyai penyokong yang ramai, maka apakah mesej yang dihantar kepada generasi akan datang?

    Bahawa kuasa mengatasi undang-undang? Bahawa penyalahgunaan amanah boleh dilupakan apabila masa berlalu?

    Hukuman bukan bertujuan membalas dendam. Hukuman bertujuan menjadi peringatan bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang.

    Perlu diingatkan, Pilihan Raya Negeri(PRN) Johor bukan referendum untuk menentukan sama ada Najib Razak patut dibebaskan atau tidak. Ia adalah pilihan raya bagi menentukan masa depan Johor.

    Namun jika sentimen terhadap seorang individu dijadikan asas membuat pilihan politik, kita berisiko mengulangi kesilapan yang sama.

    Pengundi Johor perlu bertanya kepada diri sendiri. Adakah kita mahu memilih berdasarkan emosi? Atau berdasarkan pengajaran sejarah?

    Malaysia telah membayar harga yang sangat mahal untuk memulihkan keyakinan pelabur, mengembalikan disiplin fiskal dan memperbaiki imej negara di mata dunia. Usaha itu masih berjalan sehingga hari ini.

    Janganlah kerana rasa simpati terhadap seorang tokoh politik, kita mengabaikan hakikat bahawa jutaan rakyat masih menanggung kesan daripada episod hitam yang berlaku.

    Sejarah bukan untuk membalas dendam, tidak dinafikan Najib Razak telah menyumbang kepada negara dalam beberapa aspek sepanjang menjadi perdana menteri. Hakikat itu tidak perlu dinafikan.

    Namun sejarah juga mencatat bahawa beliau telah disabitkan dalam kes SRC International, manakala skandal 1MDB meninggalkan beban kewangan dan reputasi yang masih dirasai negara sehingga hari ini.

    Kedua-dua hakikat itu boleh wujud serentak. Simpati ialah sifat kemanusiaan. Tetapi amanah ialah asas sebuah negara.

    PRN Johor bukan sekadar memilih wakil rakyat. Ia adalah ujian sama ada kita benar-benar belajar daripada sejarah atau memilih untuk melupakannya. Kerana akhirnya, hutang kewangan boleh dibayar sedikit demi sedikit.

    Tetapi jika budaya memaafkan penyalahgunaan amanah menjadi kebiasaan, hutang moral kepada negara akan diwarisi oleh generasi yang belum pun lahir.

    Sejarah tidak menuntut kita membenci sesiapa. Sejarah hanya menuntut kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.


    MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan dan bekas editor Selangorkini.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah