Pempengaruh terkenal dari Vietnam, Cindy atau Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, dinobatkan sebagai juara utama All Star Influencer Award 2025 (ASIA2025) yang berlangsung di Sunway Hotel Resort, Kuala Lumpur pada Ahad.
Cindy tak jangka kemenangan

Cindy membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,000, trofi eksklusif serta pakej percutian mewah ke Dubai.
Saya tidak menjangkakan kemenangan ini, terima kasih kepada semua pihak yang sudah memilih saya.
Wang kemenangan ini saya akan mandaatkan untuk kegunaan keluarga terlebih dahulu.
Cindy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman pemenang ASIA 2025 di Sunway Resort Hotel di sini, pada Ahad.
Tempat kedua dimenangi pempengaruh Indonesia, Sheren Natalia yang menerima AS$5,000 dan trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik Rainnie Dara dari Kemboja yang memperoleh AS$3,000.
Selain kategori utama, malam gala turut menyaksikan 13 kategori lain dipertandingkan seperti Best Gourmet Award (Pep Kemika, Thailand), Best Storyteller (Cindy, Vietnam), Best Content Creation (Sheren Natalia, Indonesia) dan Best Culture Curator (Klara Tania, Indonesia).
Gabungkan pempengaruh daripada 19 negara

ASIA2025 bukan sekadar malam anugerah, tetapi platform besar yang menggabungkan dunia digital dengan promosi pelancongan Malaysia
Menurut penganjur, Dato’ Abd. Rahman Soltan, penganjuran kali ini membuktikan kekuatan media sosial dalam memperkenalkan keindahan dan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Lebih 1.3 bilion capaian digital berjaya direkodkan tahun ini, jauh mengatasi 518 juta tontonan pada 2024. Ini menunjukkan gabungan kreativiti, teknologi dan pelancongan mampu mencipta impak besar dalam memperluaskan jangkauan Malaysia di dunia digital.
Beliau menambah, ASIA2025 menjadi platform penting bagi pencipta kandungan untuk mengasah bakat dan berkongsi inspirasi, seterusnya memperkukuh industri digital dan pelancongan rantau ini.
Sejak Julai lalu, lebih 80 pempengaruh dari 20 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir telah menjelajah destinasi pelancongan utama Malaysia seperti Johor, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Langkawi dan Sabah.
Mereka menghasilkan pelbagai kandungan kreatif dan cabaran digital yang menyumbang kepada capaian media sosial melebihi 1.3 bilion tontonan global.
Program berskala antarabangsa ini turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang digerakkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia selaku rakan strategik utama selain tajaan daripada syarikat telekomunikasi Tune Talk yang bertindak sebagai Rakan Telekomunikasi Rasmi.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda, berkata kolaborasi ini bukan hanya meraikan pencapaian digital tetapi juga mengiktiraf semangat dan kreativiti pencipta kandungan.
Dato’ Abd. Rahman turut menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia hab pencipta kandungan digital serantau yang menyatukan pelbagai budaya melalui kreativiti dan pengaruh digital.
ASIA2025 bukan hanya anugerah, tetapi gerakan yang membawa imej Malaysia ke peringkat dunia.
Edisi tahun ini mengekalkan reputasi sebagai acara paling dinanti di Asia dan Timur Tengah, dengan peningkatan besar capaian digital berbanding tahun sebelumnya.
ASIA2024 mencatat 518 juta capaian digital dan pemenang utamanya ketika itu ialah Saal Haerid dari Indonesia yang membawa pulang AS$10,000 serta trofi eksklusif.
The post Pempengaruh Vietnam, Cindy Dinobat Juara All Star Influencer Award 2025, Bawa Pulang AS$15,00 & Percutian Ke Dubai first appeared on OHBULAN!.





