34 C
Kuala Lumpur
Friday, May 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Saman fitnah: Jamal Yunos mohon maaf pada Khairy, kes selesai

    Shopee Sale

    Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos selesai selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur hari ini.

    Khairy memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 berhubung kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Jan tahun sama.

    Jamal ketika membacakan draf penghakiman persetujuan mengakui dakwaannya terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu adalah tidak benar, tidak berasas serta tidak disokong bukti yang mencukupi.

    "Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan-kenyataan tersebut yang telah menyebabkan gangguan, penghinaan awam dan kerosakan kepada reputasi, nama baik serta kredibiliti Khairy.

    "Oleh itu, saya menarik balik sepenuhnya segala kenyataan fitnah yang telah saya keluarkan terhadap Khairy dalam sidang media dan penerbitan tersebut," katanya.

    Beliau turut memohon maaf kepada Khairy atas kesulitan, tekanan dan kerosakan reputasi yang timbul akibat daripada kenyataan berkenaan.

    Jamal berkata beliau sebelum ini mendakwa Khairy mengupah atau membayar perwakilan untuk melakukan perbuatan "boo" selain mengaitkan bekas menteri itu serta mengaitkannya dengan perbuatan rasuah dan tindakan yang tidak berintegriti.

    "Saya mengakui kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh saya dalam sidang media dan penerbitan tersebut telah membawa maksud atau implikasi bahawa Khairy ialah seorang yang tidak berintegriti, tidak berwibawa sebagai pemimpin dan terlibat dengan amalan rasuah, yang perkara itu tidak benar sama sekali.

    "Oleh itu, saya bersetuju untuk memadamkan serta-merta dan selama-lamanya rakaman video sidang media tersebut dan apa-apa bentuk penerbitan daripada akaun Facebook ‘DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ dan akaun TikTok ‘jamal_yunos’ serta memastikan bahawa penerbitan tidak lagi boleh diakses oleh orang awam," katanya.

    MENARIK:  Peratus mengundi rendah: JPP PKR digesa dedah senarai pengundi

    Selain itu, Jamal turut berjanji tidak akan mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan yang bersifat sama atau seumpamanya terhadap Khairy pada masa akan datang.

    Hakim Datuk Anand Ponnudurai kemudian merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma penyelesaian yang dinyatakan dalam draf penghakiman berkenaan.

    Terdahulu, peguam Harshaan Muhammad Zamani yang mewakili Khairy memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes berdasarkan terma penyelesaian yang dicapai.

    Perkara itu disahkan peguam Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abdul Samad yang mewakili Jamal.

    Pada prosiding hari ini, Harshaan turut dibantu peguam Shakeel Mohd Saifuzzaman, Muhamad Nur Aizat Noor Azam dan Sheetal Kaur Arwinder Singh.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy berkata Jamal telah mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin parti itu semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Jan 2023.

    Plaintif mendakwa pada hari sama, Jamal memuat naik rakaman video berunsur fitnah bertajuk "Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya" menerusi Facebook dan TikTok milik defendan.

    Khairy mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau ialah pemimpin yang tiada integriti, tidak layak menjadi seorang pemimpin selain tidak setia kepada UMNO dan pemimpin parti.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah