Seorang pelakon wanita dan suaminya didakwa terlibat dalam sindiket penipuan jualan tanah lot sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM1.5 juta.
Artikel Berkaitan: Elak Penipuan Dalam Talian: Panduan Praktikal & Kenali Modus Operandi ‘Scammer’
Artikel Berkaitan: Scammer & Buli Siber Berleluasa: Wajar Ke Kerajaan Intai Data Kita?
Pelakon wanita didakwa terlibat kes penipuan

Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki berusia 56 tahun tampil membuat laporan polis di Seremban pada 7 Januari lalu, mendakwa menjadi mangsa penipuan urusan jual beli tanah kurniaan di Selangor yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan bahawa penama yang dikaitkan dengan pelakon tersebut kini menjadi suspek utama dalam siasatan berkenaan.
Perkembangan membabitkan seorang pelakon wanita, setakat ini polis daerah Seremban tidak terima laporan terkait penama berkenaan dalam kes penipuan barangan kosmetik.
Bagaimanapun penama yang sama bersama suami adalah suspek di dalam satu kes yang disiasat di Seremban berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa pasangan ini dipercayai sudah melarikan diri dari Semenanjung Malaysia dan kini sedang bersembunyi di Sarawak.
Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak.
Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan senarai pemantauan khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap.
Sebelum ini, kecoh dalam Threads apabila seorang pengasas produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan dan meminta bantuan penyanyi rap, Caprice untuk mendapatkan keadilan.
Isu tersebut turut mengaitkan seorang individu bernama Hazrin serta isterinya, pelakon drama Azar Azmi.
Difahamkan, terdapat mangsa mendakwa kerugian mencecah ribuan hingga jutaan ringgit melibatkan urusan perniagaan termasuk pelaburan durian dan tanah.
Sumber: Harian Metro
The post Pelakon Wanita & Suami Jadi Orang Dikehendaki, Didakwa Tipu Jual Tanah Tak Wujud – ‘Mereka Berada Di Sarawak’ first appeared on OHBULAN!.





