Seorang pelajar ditemui maut selepas dipercayai terjun dari tingkat empat Bangunan Fakulti Sains Sosial dan Politik (FISIP), pada Rabu.
Maut terjun bangunan

Memetik laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Timothy AnugerahS, 22, merupakan pelajar semester tujuh bagi Program Pengajian Sosiologi di Universiti Udayana (Unud), Bali.
Menurut keterangan pihak berkuasa, sebelum kejadian, mangsa dilihat berjalan di kawasan kampus dalam keadaan panik.
Seorang saksi iaitu pelajar universiti tersebut mendakwa melihat Timothy datang dari arah lif sambil menggalas beg dalam keadaan gelisah sambil memerhati sekelilingnya.
Namun siapa sangka, kira-kira 15 minit kemudian, Timothy dilaporkan telah terjun dari tingkat empat dan jatuh di hadapan lobi bangunan fakulti tersebut.
Timothy segera dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia.
Punca kematian disebabkan pendarahan dalaman dan patah tulang di beberapa bahagian badan.
Kematian jadi bahan ketawa

Menurut siasatan awal, mangsa dikatakan sudah lama mengalami masalah kesihatan mental.
Difahamkan, ini bukan kali pertama mangsa cuba membunuh diri malah dia pernah cuba terjun dari bangunan sebelum ini namun berjaya dihalang.
Lebih menyedihkan, selepas kematian Timothy, tular pula beberapa tangkapan skrin perbualan kumpulan WhatsApp pelajar mengejek dan mentertawakan mangsa.
Mereka malah membandingkan fizikal mangsa dengan seorang pencipta kandungan (konten kreator) bernama Kekeyi.
Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai, yang menyifatkan tingkah laku itu tidak wajar dilakukan apatah lagi melibatkan mangsa yang sudah meninggal dunia.
Susulan daripada itu, beberapa pelajar yang terlibat telah diambil tindakan oleh pihak universiti tersebut.
Sumber: Jawa Pos
The post Pelajar Maut Terjun Bangunan, Universiti Ambil Tindakan Terhadap Rakan Ejek & Gelak Kematian Mangsa first appeared on OHBULAN!.





