Penyanyi, Nadeera membuat pengakuan secara terbuka di hadapan 350 penonton yang hadir pada showcase An Evening With Nadeera dengan menyatakan dia adalah peminat tegar kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Artikel Berkaitan: Nadeera Menangis Tiket Showcase ‘Sold Out’ Dalam Tempoh Tiga Minit, Janjikan Persembahan Memukau
Artikel Berkaitan: Nadeera Turun Berat Badan 10 Kg Selepas Kawal Pengambilan Gula – ‘Saya Tak Buat Pembedahan Atau Ambil Ubat Kurus’
‘Saya Sitizoners’

Nadeera atau nama lengkap Farah Nadeera Zaini, 32, berkata, dia sudah mengagumi penyanyi nombor satu negara itu sejak usianya kecil selain meminati lagu-lagu nyanyian Siti.
Saya mengaku saya Sitizoners. Saya memang meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah lama.
Ketika usia saya tiga tahun, lagu pertama yang keluar dari mulut saya adalah lagu miliknya berjudul ‘Cindai’.
Waktu kecil, setiap kali dengar lagu ‘Cindai’, saya akan menari.
Nadeera berkata demikian ketika ditemui di showcase An Evening With Nadeera yang berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama, pada Jumaat.
Dalam showcase tersebut, anak kelahiran Mersing, Johor itu turut menyampaikan sebuah lagu milik Siti berjudul ‘Tanpa Dendam Di Hati’.
Saya pilih lagu ‘Tanpa Dendam Di Hati’ kerana saya amat menyukai liriknya. Apabila memahami liriknya, apa jua kejahatan yang orang lakukan pada saya, tapi saya langsung tiada dendam.
Kejayaan showcase

Diminta berkongsi perasaan selepas berjaya menganjurkan showcase tersebut, juara Big Stage 2023 itu bersyukur segala yang dirancang berjalan lancar.
Ini antara impian saya untuk ada showcase sendiri, alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Sebelum ini saya nyanyi di hotel dan yang menjadi penonton hanya kerusi dan meja, namun kali ini penonton saya adalah manusia.
Persiapan hampir sebulan yang dilakukan segalanya membuahkan hasil dan saya sangat puas. Terima kasih kepada Mask Team dan Usanita dengan kerjasama ini.
Selain ‘Tanpa Dendam Di Hati’, Nadeera turut menyampaikan sembilan buah lagu lain antaranya ‘Emas’, ‘Fatwa Pujangga’, ‘Jampi’, ‘Illusion’, ‘Boneka Tanpa Hati’, ‘Try’, ‘Kau Dihatiku’ dan ‘Bukan Lagi Kita’.
Bertambah manis apabila Nadeera turut menghadiahkan kejutan kepada penonton dengan menampilkan Dayang Nurfaizah untuk berduet menyampaikan lagu ‘Hakikat Cinta’.
Impian adakan konsert

Showcase yang berlangsung selama sejam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi terkenal tanah air Anuar Zain dan Datuk Zainal Abidin.
Sementara itu, Nadeera turut menyatakan hasratnya untuk menjayakan konsert yang berskala lebih besar pada masa akan datang jika diberi keizinan.
Selepas berjayanya showcase ini dan melihat kepada sokongan peminat, sudah pasti saya ada memasang satu lagi impian untuk adakan konsert yang lebih besar pada masa datang.
Selagi diberikan kudrat, saya mahu terus menghiburkan peminat dengan bakat yang dikurniakan ini. Apa pun, bergantung kepada rezeki.
Showcase An Evening With Nadeera merupakan anjuran bersama oleh Mask Team dan Usanita Sdn Bhd.
Foto



The post Nadeera Minat Siti Nurhaliza Seawal Usia Tiga Tahun first appeared on OHBULAN!.





