Pelakon, Sadiq memaklumkan bapanya yang juga aktor dan pengarah popular era 1980-an, M. Jamil masih dalam fasa bersedih selepas bercerai dengan ibu tirinya, Shahrila Markom pada 28 Oktober lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syida Melvin Sah Bercerai Talak Satu
Fasa bersedih

Sadiq, 28, berkata keadaan kesihatan bapanya semakin merosot selepas melalui episod perpisahan tersebut, namun dia bersama adik-beradik lain sentiasa memberikan sokongan dari segi mental serta fizikal.
Selepas perceraian, kesihatan ayah memang tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, kami adik-beradik sentiasa memberikan sokongan dan menjaga keperluan ayah, termasuk makan minum, kewangan serta penjagaannya.
Kami sentiasa memastikan ayah dijaga dengan baik supaya dia sihat dan gembira. Kami tidak mahu dia bersedih, lebih-lebih lagi pada usia sebegini. Jadi, kami adik-beradik sentiasa ada untuk ayah.
Sejujurnya, keadaan itu memang memberi kesan kepadanya kerana dia terlantar sakit. Apabila isteri sudah tiada di sisi, sudah tentu dia berasa sedih dan tidak gembira.
Sadiq berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Kacau yang berlangsung di TGV, KLCC pada Selasa.
Diminta mengulas mengenai punca perceraian, Sadiq berkata keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai persefahaman meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan rumah tangga mereka.
Kalau boleh, saya sendiri tidak mahu terlalu bercerita tentang hal keluarga. Saya lebih suka berkongsi perkara yang baik tentang keluarga. Bagaimanapun, apa yang boleh saya kongsikan, mereka tidak lagi mempunyai persefahaman.
Ayah cuba menyelamatkan perkahwinan tersebut. Seperti yang kita semua tahu, dia juga pernah berkongsi perkara itu kepada pihak media. Tetapi kita tidak boleh memaksa keadaan, perceraian adalah jalan yang terbaik.
Hasrat kahwin baru

Dalam pada itu, Sadiq tidak menghalang sekiranya bapanya mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.
Seperti yang pernah ayah kongsikan kepada pihak media sebelum ini, ayah ada menyatakan hasrat untuk mencari pasangan baharu.
Kami sebagai anak-anak tidak pernah menghalang. Cuma, buat masa sekarang, kalau boleh kami mahu dia lebih memberikan tumpuan kepada kesihatannya dahulu. Kami mahu dia sihat terlebih dahulu.
Pada 28 Oktober lalu, M. Jamil, 62, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Shahrila Markom di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, Selayang, selepas lapan bulan prosiding perbicaraan berlangsung.
Hasil perkongsian hidup selama 12 tahun, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Sarimah Salma, 11, dan Laila Jamila, 9, yang kini berada di bawah penjagaan Shahrila.
M. Jamil mendirikan rumah tangga dengan Shahrila pada 24 Mei 2014 selepas kematian isteri ketiganya, Allahyarham Siti Rohani Wahid pada 2010.
M. Jamil yang juga anak kepada seniwati Datuk Sarimah Ahmad, 84, mengalami strok sejak lapan tahun lalu selain berdepan komplikasi kencing manis sehingga menyebabkan jari kelingking kaki kirinya terpaksa dipotong.
Sepanjang empat perkahwinannya, M. Jamil dikurniakan 11 orang anak dan kini difahamkan menetap bersama dua anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarham Siti Rohani.
The post Sadiq Dedah M. Jamil Masih Bersedih Selepas Bercerai Dengan Isteri Keempat, Ada Hasrat Mahu Kahwin Lagi first appeared on OHBULAN!.





