Ramai beranggapan kemahiran bermain alat muzik adalah satu anugerah istimewa yang dimiliki oleh segelintir individu.
Artikel Berkaitan: Tak Perlu Produk Mahal, Guna Kiub Ais Je Dah Cukup Untuk Kulit Sihat & ‘Glowing’
Artikel Berkaitan: Pengambilan Daging Merah Secara Berlebihan Boleh Jejaskan Buah Pinggang, Risiko Dapat Kanser – Kajian
Lambatkan kemerosotan fungsi otak

Namun hakikatnya, aktiviti ini juga merupakan satu bentuk senaman minda yang sangat berkesan, khususnya untuk lelaki warga emas yang berdepan risiko penurunan fungsi kognitif.
Terdapat kajian pakar neurologi membuktikan bahawa dengan bermain alat muzik boleh merangsangkan beberapa bahagian otak, membantu menajamkan pemikiran, menstabilkan emosi dan meningkatkan kesejahteraan mental, sekali gus melambatkan kemerosotan fungsi otak akibat penuaan.
Menurut pakar neurologi Britain, Dr. Steven Allder, proses mempelajari muzik mampu merangsangkan pusat utama otak yang mengawal memori dan kestabilan emosi serta mengekalkan keanjalan sistem saraf.
Bermain alat muzik memerlukan koordinasi kompleks antara mata, tangan dan pendengaran. Interaksi yang berlaku secara serentak ini dapat mengaktifkan rangkaian saraf yang berkait rapat dengan daya fokus serta keupayaan mengingat.
Kajian turut mendapati bahawa lelaki berumur 60 tahun ke atas yang kekal aktif bermain alat muzik mempunyai tahap neuroplasticity lebih tinggi, iaitu keupayaan otak dalam membentuk sambungan saraf baharu.
Keupayaan ini menjadikan minda lebih fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan walaupun usia meningkat.
Menariknya, pusat pemprosesan muzik dalam otak berkongsi laluan saraf yang sama dengan pusat bahasa.
Latihan mengenal nada, mengikuti ritma dan mengawal tempo dapat meningkatkan kepekaan pendengaran serta memperbaiki kelancaran pertuturan, sekali gus menjadi kelebihan besar bagi lelaki dalam fasa penuaan.
Rasa gembira

Dari sudut emosi, muzik merangsang penghasilan dopamin dan endorfin yang mencetuskan rasa gembira dan puas, di samping menurunkan kadar kortisol yang berkait dengan tekanan.
Tidak hairanlah ramai lelaki berusia menjadikan gitar, piano atau biola sebagai terapi minda untuk menenangkan diri dan mengekalkan keseimbangan emosi.
Selain itu, dengan membaca not muzik, menjangka melodi, dan mengawal tempo juga dapat melatih keupayaan dalam membuat keputusan, meningkatkan fokus, serta mengukuhkan kawalan diri, sekali gus mengekalkan ketajaman pemikiran dan kecekapan berfikir kritikal dalam jangka panjang.
Walaupun tiada aktiviti tunggal yang mampu mencegah demensia sepenuhnya, pembelajaran muzik terbukti membina cognitive reserve, iaitu daya tahan otak yang melindungi daripada kemerosotan fungsi akibat usia dan penyakit.
Sumber: Maskulin
The post Manfaat Bermain Alat Muzik Untuk Lelaki Warga Emas, Bantu Lawan Demensia first appeared on OHBULAN!.





