Universal Music Malaysia membuat keputusan untuk menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla berjudul Question daripada semua platform digital.
Artikel Berkaitan: Asma Harun Tegur MV ‘Quetion’ Dolla, Berpendapat Seni Lagu Tak Semestinya Perlu Seksi & Pamer Aksi Ghairah
Turunkan video Dolla

Langkah itu diambil susulan kebimbangan orang ramai yang mendakwa penampilan anggota Dolla dalam video tersebut tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut Universal Music Malaysia, keputusan itu dibuat sebagai tindakan bertanggungjawab demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Justeru, pihak syarikat juga meneliti semula keseluruhan kandungan video serta mengambil kira maklum balas masyarakat.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata keputusan itu bukan sekadar respons kepada kritikan, tetapi satu komitmen untuk menghormati nilai budaya setempat.
Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.
Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.
Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak.
Universal Music Malaysia turut menegaskan bahawa setiap projek kreatif selepas ini akan melalui proses semakan lebih ketat, termasuk rundingan profesional, bagi memastikan isu yang sama tidak berulang.
Syarikat itu turut berterima kasih kepada peminat dan masyarakat yang memberi maklum balas secara terbuka, serta berharap perkara ini dapat ditangani dengan harmoni tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tanah air.
The post Kontroversi Penampilan Seksi, Universal Music Turunkan Video Muzik ‘Question’ Dolla first appeared on OHBULAN!.





