Tamakninah dalam solat merujuk kepada keadaan berhenti seketika dengan tenang pada setiap rukun pergerakan seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk antara dua sujud.
Tanpa tamakninah, solat boleh menjadi tidak sempurna walaupun semua bacaan dan pergerakan dilakukan.
Artikel Berkaitan: Solat: Terapi Jiwa & Rahsia Kekuatan Tubuh
Artikel Berkaitan: Letak Yasin Bawah Bantal Sebab Takut Gangguan Jin? Ini Penjelasan Hukum Yang Anda Perlu Tahu
Penjelasan tamakninah

Menerusi penjelasan daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor, tamakninah merupakan rukun solat yang wajib disempurnakan oleh setiap orang yang mendirikan ibadah tersebut bagi memastikan solat mereka sah.
Tamakninah adalah diam sebentar dari melakukan sebarang pergerakan. Tamakninah adalah wajib ketika rukuk, i’tidal, sujud dan duduk di antara dua sujud.
Kadar minimum diam tersebut adalah sekadar dapat membezakan antara rukun yang terdahulu dan rukun yang selepasnya dengan kadar mengucap ‘subhanallah‘ sebanyak sekali.
Adapun jika berlaku pergerakan di luar pilihan seperti kerlipan mata dan degupan jantung ia tidak membatalkan tamakninah.
Sementara itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menjelaskan tentang situasi ketika Rasulullah SAW masuk ke dalam masjid lalu melihat seorang lelaki yang melakukan solat dengan tergesa-gesa tanpa tamakninah.
Selepas selesai, lelaki itu memberi salam kepada Nabi SAW lalu Nabi SAW membalas salamnya dan menyuruhnya untuk mendirikan semula solat.
Lelaki itu berkata; Demi tuhan (Allah) yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, aku tidak tahu solat yang lebih baik melainkan apa yang engkau lihat dariku. Maka ajarkanlah aku; Rasulullah SAW bersabda;
‘Apabila kamu bangun untuk solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa yang mudah untuk kamu dari ayat al-Quran, kemudian rukuklah sehingga tamakninah, kemudian bangunlah iktidal, kemudian sujudlah sehingga tamakninah kemudian bangunlah darinya (duduk antara dua sujud) berserta tamakninah dan buatlah begitu dalam solat keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari).’
Sementara itu, dalam riwayat yang lain, Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
‘Seburuk-buruk pencuri adalah mereka yang mencuri sesuatu dari solatnya. Para
sahabat bertanya ” Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang boleh mencuri sesuatu dari solatnya?’Rasulullah SAW bersabda; “Apabila dia tidak menyempurnakan rukuk, sujud atau tidak meratakan tulang belakangnya ketika rukuk dan ketika sujud. (Riwayat Ahmad).’
Oleh itu, memahami dan menghayati konsep tamakninah amat penting agar ibadah solat yang didirikan benar-benar sempurna serta diterima. Ia juga melatih diri untuk lebih fokus terutama ketika menghadap Allah SWT.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor
The post Jangan Abaikan Tamakninah, Terburu-Buru Boleh Jejaskan Solat first appeared on OHBULAN!.





