Seorang lelaki berusia 18 tahun dan lima remaja lelaki bawah umur dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Kangar, pada Selasa, atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun di Sanglang, Julai lalu.
Gadis jadi mangsa rogol

Di Mahkamah Sesyen, lelaki yang merupakan seorang penganggur itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Dia didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Sanglang kira-kira jam 2 pagi, 18 Julai lalu, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta mewajibkannya melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. Dia juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 9 Oktober depan bagi urusan serahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lima remaja berusia 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan merogol mangsa sama secara berkumpulan.
Dua daripada mereka, masing-masing berusia 15 dan 17 tahun, didakwa melakukan kesalahan antara jam 3 hingga 4 pagi pada 18 Julai. Empat lagi tertuduh pula didakwa melakukan kesalahan sama antara jam 2 hingga 5 pagi pada 19 Julai.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM500 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh. Seorang remaja berusia 15 tahun yang menghadapi dua pertuduhan dikenakan jaminan keseluruhan RM1,000.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi mendapatkan laporan akhlak dan pembentangan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.
Sumber: Sinar Harian
The post Gadis 15 Tahun Didakwa Dir*gol, Enam Lelaki Dihadapkan Ke Mahkamah first appeared on OHBULAN!.





