Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) kepada pesawah di Kedah.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kertas siasatan itu dibuka oleh SPRM Kedah susulan aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lepas berhubung kelewatan pembekalan baja itu.
Kelewatan oleh pihak pembekal yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu telah menjejaskan keperluan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkeluasan 100,000 hektar.
“Siasatan berhubung isu itu dilakukan oleh SPRM Kedah bagi menyiasat bukan sahaja daripada aspek jenayah, namun termasuk sebarang isu kelemahan tatakelola yang wujud sehingga berlakunya kelewatan itu,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan setakat ini pihaknya telah merakam percakapan seorang saksi daripada PeSAWAH dan menerima beberapa dokumen berkaitan.
“SPRM menyambut baik gesaan serta keprihatinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas isu ini dan telah berhubung dengan pihak KPKM serta MADA bagi siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Media sebelum ini melaporkan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Kedah Mardhiyyah Johari agar kerajaan mempertimbangkan bayaran ganti rugi kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan pengagihan Baja Padi 3 di kawasan MADA.
Kelewatan itu menyebabkan kira-kira 38,000 pesawah dengan keluasan tanaman seluas 78,117 hektar di kawasan MADA terjejas.
MADA pada 18 Ogos lepas memaklumkan sebanyak 22 peratus, iaitu 137,560 beg Baja Padi 3 telah dibekalkan berbanding keperluan keseluruhan sebanyak 616,015 beg.





