29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Baru 20 Tahun Tapi Cara Bercakap Dipuji, Zaki Yamani Pilih Jaga Adab

    Shopee Sale

    Walaupun baru berusia 20 tahun, penyanyi Zaki Yamani menarik perhatian bukan sahaja menerusi bakatnya, malah cara dirinya berkomunikasi dan menjawab pertanyaan media yang disifatkan matang serta sopan.

    Malah, selepas satu temu bualnya baru-baru ini dikongsikan di media sosial, beberapa pengguna media sosial memuji cara Zaki menyusun kata dan berdepan dengan soalan wartawan meskipun masih muda.

    ARTIKEL BERKAITAN: #SkoolXTRA: Zaki Yamani Pernah Dib*li & Dip*jak, Ibu Sampai Hantar Belajar Taekwando

    ARTIKEL BERKAITAN: POV XTRA: Takut Masa Terbuang Dalam Industri, Zaki Yamani Pasang Impian Jadi Seniman Disanjungi

    Keluarga Beri Pesanan

    Mengulas mengenai pujian tersebut, Zaki berkata cara seseorang bercakap merupakan cerminan diri dan prinsip itu sudah diterapkan oleh keluarganya sejak kecil.

    “Alhamdulillah, terima kasih. Dari kecil keluarga selalu pesan supaya jaga cara kita bercakap.

    “Bagi saya, cara kita bercakap mencerminkan diri kita. Jadi saya cuba fikir dulu sebelum bercakap supaya tak menyakiti hati orang,” katanya.

    Menurut pelantun single Akur itu, nilai sopan santun dan menghormati orang lain juga semakin penting terutama dalam dunia media sosial yang membolehkan seseorang memberikan pandangan atau reaksi dalam sekelip mata.

    Baginya, perbezaan pendapat tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang mengetepikan adab ketika berkomunikasi.

    “Bagi saya, adab sangat penting lebih-lebih lagi di media sosial. Kita boleh berbeza pendapat atau tak setuju, tapi cara kita sampaikan mestilah dengan hormat.

    “Kadang-kadang apa yang kita tulis kejap, orang lain mungkin ingat lama,” ujarnya.

    Zaki berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pahang 1st Kepada Petugas Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, baru-baru ini.

    Titip Nasihat Agar Jaga Adab Dengan Petugas Kesihatan

    Penyanyi yang turut membuat persembahan pada majlis tersebut berpandangan adab sama perlu diamalkan ketika berurusan dengan petugas kesihatan, terutama apabila seseorang berada dalam keadaan risau atau emosi.

    “Kita kena ingat petugas kesihatan pun manusia. Mereka bekerja untuk membantu kita.

    “Jadi walaupun kita risau atau emosi bila sakit, jangan lepaskan kemarahan kepada mereka. Kalau ada masalah, bercakaplah dengan baik.”

    Pada masa sama, Zaki turut menitipkan pesanan mudah kepada golongan muda supaya membiasakan diri menghormati sesiapa sahaja tanpa mengira pekerjaan atau kedudukan.

    MENARIK:  ‘Bila Keluar Dengan Anak-Anak, Saya Tak Rasa Diri Ni Artis..Saya Hanyalah Mama Mereka’ – Syasya Rizal

    “Pesanan saya simple je, layan orang sebagaimana kita nak dilayan, tak kira petugas kesihatan, pekerja servis atau sesiapa pun.

    “Mereka semua layak dihormati. Senyum, bercakap dengan baik dan ucap terima kasih. Benda kecil bagi kita mungkin bermakna untuk orang lain,” katanya.

    RM1.187 Juta Hargai Petugas Kesihatan

    Dalam pada itu, majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Pahang terhadap jasa dan komitmen petugas kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, termasuk mereka yang bertugas di kawasan pedalaman dan lokasi mencabar.

    Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan baucar berjumlah RM1.187 juta kepada 11,870 petugas kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan mereka.

    Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sektor kesihatan merupakan antara tunjang penting kepada kemakmuran, kestabilan sosial dan daya saing negeri. Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

    Antara inisiatif yang dilaksanakan menerusi kerjasama berkenaan ialah Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas Negeri Pahang, Program Komuniti Bebas Denggi (KomBeD), KOSPEN, Desa-Q Sihat serta Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam, selaras dengan aspirasi memastikan tiada rakyat ketinggalan dalam menikmati perkhidmatan kesihatan berkualiti.

    The post Baru 20 Tahun Tapi Cara Bercakap Dipuji, Zaki Yamani Pilih Jaga Adab first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah