Bekas pengarah besar Felda direman lima hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa berhubung pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara, selain urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan.
Perintah reman bermula hari ini hingga 11 Sept terhadap suspek berumur lewat 60-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di Putrajaya.
SPRM sebelum ini memanggil dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Kedua-dua individu itu disyaki terlibat dalam urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat.
Media melaporkan SPRM menahan dua individu, termasuk seorang bekas pengarah besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk kira-kira 4 petang semalam, ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Minggu lepas, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Abd Halim dilaporkan berkata penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai Ops FELLA itu menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun, iaitu antara 2010 hingga 2020.
Daripada jumlah itu, enam kertas siasatan baharu dibuka pada 24 Ogos lepas manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan sedang menjalani proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Kertas siasatan berkenaan merangkumi isu pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.
Siasatan turut difokuskan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dakwaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti semula secara selari, menjadikan keseluruhan kes yang dikaji beroperasi di bawah tujuh kertas siasatan.
Sementara itu, sumber memaklumkan permohonan reman terhadap seorang lagi individu yang sedang menerima rawatan dipercayai mengalami masalah kesihatan akan dilakukan di hospital hari ini.





