Selepas sekian lama dinantikan peminat muzik rock dan metal tempatan, dua nama besar tanah air, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun depan di IdeaLive, 3 Damansara, Petaling Jaya.
Artikel Berkaitan: Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat Bakal Gegarkan Zepp KL! Ada Elemen Kejutan Buat Penonton
Dua Legasi Rock Bersatu!

Gabungan dua kumpulan berpengaruh ini dijangka mencipta fenomena tersendiri apabila masing-masing membawa identiti, tenaga dan legasi yang sudah lama sebati dalam jiwa peminat muzik rock tempatan.
Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu bakal menjadi medan pertemuan dua generasi muzik berbeza, namun berkongsi semangat yang sama dalam mengangkat muzik rock ke tahap lebih tinggi.
Lebih menarik, peminat bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik, selain peluang menyaksikan persembahan pertama secara langsung single terbaru Cromok di pentas besar. Barbarik turut akan mempersembahkan single terbaharu mereka pada malam sama.
Gitaris Barbarik, Jo berkata, konsert tersebut membawa makna yang cukup besar bukan sahaja kepada kedua-dua kumpulan, tetapi juga kepada peminat setia mereka.
Ini bukan sekadar konsert biasa. Konsert ini menjadi pertemuan dua legasi yang sudah lama beraksi dalam liga masing-masing. Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza.
Kami mahu memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat agar konsert ini menjadi satu memori yang sukar dilupakan.
Peminat akan melihat sisi berbeza daripada kami, termasuk kolaborasi yang mungkin tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.
Evolusi muzik

Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu bentuk evolusi dalam persembahan muzik tempatan, khususnya dari aspek penggunaan teknologi.
Kami tampil dengan konsep digital sepenuhnya menerusi pendekatan No Noise Digital Stage, menjadikan kami antara kumpulan di Malaysia yang mempersembahkan persembahan 100 peratus digital.
Tiada penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas, hanya satu mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan.
Penggunaan teknologi digital ini membolehkan pemantauan audio yang lebih jelas, sekali gus meningkatkan kualiti persembahan, menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta memberikan pengalaman lebih baik kepada penonton.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, diikuti RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).
Tiket boleh didapati menerusi dua platform iaitu MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.
Konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
The post Dua Legasi Rock Bersatu! Cromok & Barbarik Gegarkan Black On White first appeared on OHBULAN!.





