
Setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal, kemeriahan sambutan bersama keluarga pasti menjadi detik yang dinanti-nantikan.
Lagu Jom Raya

Bagi penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, kedatangan lebaran kali ini lebih istimewa apabila dia melancarkan single raya pertamanya, Jom Raya. Lagu yang dilancarkan pada 28 Februari lalu itu merupakan kolaborasi sulung Daiyan bersama Alfie Zumi.
Menurut Daiyan, Jom Raya sebenarnya telah siap sejak setahun yang lalu, namun proses rakamannya terpaksa ditangguhkan kerana kekangan masa.
Ini merupakan lagu raya pertama saya dan sangat mengujakan. Sebenarnya lagu ini sudah pun separuh jalan disiapkan pada tahun lalu tetapi disebabkan kekangan masa, saya tangguh dahulu.
Tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan dan terus merakamkan Jom Raya. Rasanya ini antara projek paling mudah dan paling seronok untuk dihasilkan.
Daiyan yang bertindak selaku komposer Jom Raya turut sama menulis lirik bersama Glowrush dan Efry Arwis. Kerjasama yang baik antara mereka memudahkan proses produksi, menjadikan lagu ini lebih segar dan menarik.
Saya perasan ramai yang suka berjenaka dengan pick up line tentang jodoh di media sosial ketika raya. Jadi, saya terfikir, kenapa tidak jadikan elemen ini dalam sebuah lagu? Saya mahu Jom Raya menjadi lagu yang ringan, santai, dan dekat di hati pendengar.
Disebabkan itulah saya mahu realisasikan Jom Raya ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik. Saya mahu hasilkan sebuah lagu raya yang mengandungi ‘pick up line’ dan disukai oleh semua pendengar.
Muzik video
Daiyan turut berkongsi bahawa Jom Raya hadir dalam dua versi iaitu versi duet bersama Alfie Zumi dan versi solo yang bakal dilancarkan pada 21 Mac di semua platform digital.
Berbeza dengan kebanyakan lagu raya yang menampilkan suasana kampung yang meriah, Daiyan memilih pendekatan lebih realistik dengan menjadikan sebuah rumah moden di tengah bandar sebagai lokasi utama untuk video muzik (MV) Jom Raya.
Saya mahu menggambarkan realiti kebanyakan kita hari ini. Bukan semua orang pulang ke kampung, ada yang meraikan Syawal di bandar. Jadi, saya mahu MV ini lebih dekat dengan kehidupan sebenar.
Diarahkan oleh Abu Hsvii, MV ini turut dibintangi oleh Kasih Leona dan Jazmy Juma, menampilkan elemen keakraban dan kemesraan yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri.
Dengan pelancaran Jom Raya, Daiyan Trisha sekali lagi membuktikan keunikan dan kreativiti dalam berkarya.
Jangan lupa untuk menonton video muziknya di YouTube dan strim lagu ini di semua platform digital, siapa tahu, liriknya mungkin menggambarkan kisah raya anda tahun ini!





