Undang Sungai Ujong yang dipertikaikan, Mubarak Thahak menangguhkan pematuhan kepada arahan pengosongan kediaman rasmi, serta balai Undang dengan mendakwa tidak terdapat kejelasan dalam isu berkaitan.
Dalam surat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Balai Undang yang mewakili Mubarak mempertikai surat yang dihantar di luar waktu pejabat berhubung penempatan semula kakitangan balai berkenaan yang diterima pukul 10 malam pada 27 April.
Manakala surat arahan pengosongan premis pula diterima pukul 4.40 petang hari ini.
"Sehubungan dengan itu, pihak kami dengan segala hormatnya menangguh pematuhan arahan pengosongan kompaun kediaman rasmi, dan Balai Undang Luak Sungai Ujong pada masa ini," kata Setiausaha Sulit Kepada Undang Sungai Ujong, Ahmad Hanafi Ruzlan.
Surat berkenaan dialamatkan kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Perkhidmatan Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Akmal Farid Rizal Noordin, dan turut dinyatakan salinan kepada Pejabat Menteri Besar Aminuddin Harun.
Krisis di antara institusi adat dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dilihat terus memanas apabila kerajaan negeri mengarahkan Balai Undang Sungai Ujong dan kediaman rasmi berkaitan dikosongkan.
Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan serta-merta.
Surat itu menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan ketetapan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu.
"Sehubungan dengan itu, pihak tuan puan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bagunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungai Ujong berkuatkuasa serta-merta," kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.
Dalam pada itu, Balai Undang turut meminta agar surat rasmi dan minit mesyuarat sidang khas DKU pada 17 April lalu di Istana Seri Menanti diserahkan kepada pihaknya.
Minit mesyuarat itu dipercayai berhubung pemecatan Mubarak sebagai Undang Sungai Ujong.
"Pengosongan premis secara mendadak ini tanpa sebarang kepastian akan menjejaskan usaha pemulihan kami yang berterusan.
"Jika arahan pengosongan Balai Undang Luak Sungai Ujong ini diteruskan, pihak kami khuatir akan menimbulkan kekecohan dan pertelingkahan awam yang akan membawa kepada situasi lebih buruk," ujarnya lagi.
Pembesar di Sungai Ujong sebelum ini dilapor mencadangkan untuk menyingkirkan Mubarak sebagai Undang kawasan itu pada Mei tahun lepas atas 33 dakwaan kesalahan termasuk dakwaan pelanggaran undang-undang dan adat resam Islam.
Dakwaan ini telah dipertikaikan oleh penyokong Mubarak.
Pemecatan Mubarak menyebabkan dia dan tiga Undang lain menggunakan kuasa perlembagaan mereka pada 19 April untuk memecat Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Mereka kemudian menyasarkan Aminuddin, selepas menteri besar itu menyifatkannya pengisytiharan mereka terhadap Tuanku Muhriz tidak sah kerana Mubarak telah dipecat sebelum ini.
Mubarak bagaimanapun mendakwa bahawa pembesar yang mahu memecatnya sudah dipecat sebelum ini atas dakwaan salah guna kuasa.
Pergeseran ini kemudian membawa kepada tindakan 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri hilang majoriti.
Umno bagaimanapun kemudian mengumumkan bahawa 14 Adun itu kekal menyokong kerajaan perpaduan, meski mereka turut kekal dengan keputusan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.





