Sebuah syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pesawatnya berkemungkinan dilanggar dron ketika bersiap untuk mendarat di sebuah lapangan terbang berhampiran San Diego
AFP melaporkan juruterbang United Airlines berkata bahawa pesawatnya mungkin dilanggar oleh sebuah dron pada ketinggian ratusan meter di udara semasa hendak mendarat.
Rakaman perbualan antara kawalan trafik udara di San Diego dan penerbangan komersial itu mendedahkan bahawa juruterbang berkenaan percaya pesawat Boeing 737 tersebut mungkin 'tersentuh' dengan perananti kecil bawaan udara.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi (1630 GMT), 90 minit selepas pesawat itu berlepas dari San Francisco, dan sedang terbang pada ketinggian sekitar 3,000 kaki (900 meter).

“Objek itu sangat kecil sehingga saya tidak dapat memastikannya,” kata juruterbang itu kepada pengawal selia yang meminta butiran lanjut mengenai kemungkinan rempuhan dron berkenaan.
“Warnanya merah... ia berkilat.”
Beberapa minit sebelum itu, juruterbang tersebut menghubungi menara kawalan melalui radio untuk bertanya sama ada penerbangan lain ada melaporkan sesuatu yang luar biasa di ruang udara.
“Saya percaya saya baru sahaja melihat objek kecil berwarna merah... kira-kira 1,000 kaki di bawah kami di sebelah kanan kami,” kata juruterbang itu.
Seorang jurucakap United Airlines mengesahkan kemungkinan penampakan dron tersebut, namun berkata ia tidak menyebabkan sebarang kerosakan dan tiada kecederaan melibatkan 48 penumpang serta enam anak kapal di dalam pesawat.
"Penerbangan United 1980 melaporkan kemungkinan penampakan dron sebelum tiba di San Diego.
"Pesawat itu mendarat dengan selamat dan semua penumpang keluar seperti biasa di pintu masuk. Pasukan penyelenggaraan kami juga tidak menemukan sebarang kerosakan selepas pemeriksaan teliti dilakukan ke atas pesawat," menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.
Semenatra itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menetapkan peraturan yang melarang penggunaan dron melebihi 400 kaki (122 meter) tanpa kebenaran khas dan operator juga diwajibkan mengelakkan ruang udara terhad termasuk kawasan di sekitar lapangan terbang.





