Kalau korang fikir lada itu cuma sekadar penambah rasa dalam masakan, korang silap besar. Dari dapur ke dunia kecantikan, dari meja makan ke produk aromaterapi, lada Malaysia kini muncul dengan imej yang jauh lebih segar, bergaya dan penuh potensi.
Lada yang dimaksudkan bukan cili, tetapi merujuk kepada ‘Piper Nigrum‘, yang pada suatu ketika pernah dikenali sebagai ‘Emas Hitam’ (Black Gold).


Itulah yang cuba diketengahkan dalam Program Kempen Penggunaan Lada Malaysia 2025 yang berlangsung di IOI Mall Kulai baru-baru ni.
Meriah gila dengan kehadiran lebih 36 pempamer, pelancaran produk-produk viral dan aktiviti menarik sepanjang hari. Targetnya? Nak tarik perhatian 5,000 pengunjung untuk kenal dan bangga dengan lada tempatan kita.
Lada tempatan berkualiti global
Sambal sayur lada sudah biasa, tapi aiskrim lada hitam? Itu baharu luar biasa. Para usahawan dari seluruh negara, terutamanya dari wilayah selatan, mempamerkan inovasi produk lada yang tak pernah kita jangka.

YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi ketika ditemui berkata pihaknya mahu orang ramai tahu bahawa lada bukan sekadar bahan masakan.
“Ia ada dalam produk minyak wangi, lotion, minyak urut dan krim terapi. Ini ‘wow factor’ yang ramai tidak sedar, lada boleh jadi sebahagian daripada gaya hidup moden.”ujarnya.
Lebih menarik, pelbagai produk baharu turut dilancarkan dalam program ini, termasuk Black Pepper Balm Stick, Glow Bar lada hitam dan acar premix lada roselle dimana semuanya menggabungkan tradisi dan inovasi dengan cukup bergaya.
Lada hijau, hero baharu dapur korang yang lebih segar & versatil

Selain lada hitam dan putih yang dah lama terkenal, kempen ini juga memperkenalkan produk lada hijau tempatan yang lebih ringan, lebih segar dan sesuai untuk mereka yang gemarkan masakan moden atau fusion.
Chef jemputan yang membuat demo turut berkongsi resipi-resipi menarik menggunakan lada hijau dalam pasta, salad dan juga stir-fry gaya Asia.
Lada hijau ini ternyata mendapat sambutan hangat, terutama dalam kalangan pengunjung muda yang teruja dengan idea menggabungkan rasa pedas segar dalam hidangan harian mereka.
“Kita perkenalkan aiskrim lada kerana gabungan rasa sejuk dan pedas ini boleh cetuskan sensasi viral. Ia sesuai dengan trend ‘food challenge’ dan penggemar pengalaman makanan baharu,” tambah YB Datuk Chan.
Dengan pendekatan yang lebih lifestyle-oriented, lada kini tidak lagi eksklusif untuk hidangan tradisional tetapi ia sudah masuk ke dalam gaya hidup dan selera moden.
Bukan sekadar rasa: khasiat & kecantikan dalam secubit lada

Ramai tidak tahu, lada sebenarnya penuh khasiat tersembunyi. Encik Vincent Sawat, Ketua Pengarah MPB, mendedahkan bahawa kajian mendapati lada mengandungi sebatian berguna bagi menghasilkan produk-produk anti-diabetik, anti-radang, anti-kulat, anti-bakteria, anti-oksida, agen pelangsing dan anti-penuaan, menjadikannya bahan semula jadi yang bernilai tinggi.
“Lada digunakan dalam aromaterapi, wellness, produk kecantikan malah produk wangian. Ini menunjukkan potensinya jauh melangkaui dapur,” ujarnya.
Bayangkan, bahan yang selama ini hanya korang letak dalam sup, kini boleh membantu dalam penjagaan kulit dan kesihatan dalaman korang. Mind blown, bukan?
Masa untuk bangga dengan produk tempatan

Sokongan korang terhadap lada tempatan sangat penting. Sebab tu kerajaan melalui MPB dah peruntukkan lebih RM4.7 juta untuk pembangunan industri lada dari segi promosi, latihan keusahawanan dan inovasi produk tempatan.
YB Datuk Chan turut menyeru semua rakyat Malaysia, terutama anak muda untuk menjadikan lada sebagai kebanggaan kita. Gunakan dalam masakan, cuba produk hiliran lada dan bantu naikkan nama produk tempatan ke pentas dunia.
Lada Malaysia adalah lebih daripada rasa pedas. Ia adalah simbol inovasi, warisan dan masa depan. Sama ada korang foodies, beauty junkie atau pencinta produk tempatan, ini masanya untuk bawa balik semangat lada dalam hidup korang.
Bukan saja sedap, tapi penuh potensi untuk gaya hidup yang lebih sihat, unik dan membanggakan sesuai dengan citarasa lokal namun berkualiti global.
The post Bukan Sekadar Dalam Kuali, Lada Tempatan Kini Jadi Ikon Beauty & Wellness! first appeared on OHBULAN!.





