Seorang peguam hak asasi manusia mengkritik keengganan kerajaan mendedahkan maklumat mengenai penahanan seorang pengguna TikTok di bawah Akta Hasutan.
Menurut Zaid Malek, wanita yang menggunakan nama akaun “Jorjet Myla” itu dipercayai disiasat kerana kritikannya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Namun begitu, pihak polis masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun media berulang kali cuba mendapatkan pengesahan dan maklumat berkaitan kes tersebut.
Perkara itu, katanya, membimbangkan kerana keengganan pihak berkuasa memberikan maklumat penting berkaitan isu awam dilihat sebagai usaha mengawal apa yang boleh dilaporkan oleh media.

“Berdasarkan keadaan sekarang, nampaknya kerajaan cuba menutup isu ini dan menghalang perbincangan awam mengenainya,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Zaid, yang juga seorang aktivis, menegaskan bahawa media memainkan perananan penting dalam sistem demokrasi.
Katanya, apabila maklumat disekat, orang awam tidak dapat mengambil bahagian secara bebas dalam proses demokrasi.
Dia turut mengingatkan bahawa sekatan terhadap media sering dikaitkan dengan amalan negara tidak demokratik, dan ia tidak selari dengan imej reformasi yang dibawa oleh Anwar.
“Kerajaan ini tidak syak lagi telah memperoleh reputasi ‘Reformati’,” katanya.
Sejak awal minggu ini, beberapa hantaran tular di media sosial mendakwa wanita itu ditahan kerana memuat naik video TikTok yang mengkritik kepimpinan Anwar.
Dia juga dilaporkan direman selama tiga hari, dan dikatakan tidak diwakili peguam semasa tempoh reman tersebut.
Pihak polis sehingga kini masih belum memberi maklum balas kepada pertanyaan media sejak Selasa lalu bagi mengesahkan tangkapan dan butiran kes itu.





