32.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kopi diskaun lancar trafik: Lagi baik dari tak buat apa – Yeoh

    Shopee Sale

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mempertahankan inisiatif ‘Bangun KL’ diterajui sektor swasta, yang menggunakan tawaran kopi diskaun bagi menggalakkan pengguna jalan raya keluar lebih awal dan mengurangkan kesesakan waktu puncak.

    Dilancarkan pada 9 April dan dijadual berlangsung hingga hujung tahun, program dengan kerjasama Zus Coffee itu sebahagian usaha lebih luas kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup bandar dengan membantu pengguna jalan raya mendapatkan semula masa yang biasanya terkorban akibat kesesakan.

    Di bawah kempen yang melibatkan 250 cawangan Zus Coffee di Kuala Lumpur dan Putrajaya, diskaun hampir 30 peratus ditawarkan bagi minuman terpilih yang dibeli melalui aplikasi mudah alih jenama tempatan itu antara jam 7 pagi hingga 8 pagi.

    Inisiatif itu pada awalnya dikritik oleh beberapa pihak yang mempersoalkan keberkesanannya dalam mengurangkan kesesakan jalan raya, dengan ada yang menegaskan ramai penduduk Lembah Klang sudah keluar rumah seawal jam 6 pagi.

    Ada juga yang berpendapat promosi kopi itu tidak mungkin mengubah rutin sedia ada, terutama bagi pengguna yang perjalanan mereka bergantung kepada pelbagai faktor seperti waktu menghantar anak ke sekolah.

    Yeoh sebelum ini menegaskan inisiatif tersebut bersifat sukarela dan tidak bertujuan memaksa perubahan tingkah laku.

    Ketika berucap pada majlis pelancaran kempen itu pada 9 April di sebuah cawangan Zus Coffee di Jalan Hang Kasturi, menteri itu berkata langkah tersebut bertujuan menyediakan insentif praktikal dan menarik kepada mereka yang sanggup mengubah rutin perjalanan.

    “Promosi kopi ini hanyalah satu contoh bagaimana insentif boleh menggalakkan orang ramai memulakan hari lebih awal,” kata Yeoh seperti dipetik New Straits Times.

    “Ia bukan tentang meminta semua orang minum kopi, tetapi menawarkan nilai tambahan kepada mereka yang memang sudah berbuat demikian.

    MENARIK:  Pelesenan media sosial tetap diteruskan tahun depan - Fahmi

    “Pada tahap ini, kita mahu penduduk bandar sedar terdapat banyak kelebihan di Kuala Lumpur bagi mereka yang memulakan hari lebih awal,” tambahnya.

    Mengakui kesesakan lalu lintas “tidak dapat dielakkan” apabila kira-kira 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi, dengan waktu kemuncak antara jam 8 pagi hingga 9 pagi, Yeoh berkata jika “hanya 10 peratus” pengguna memulakan perjalanan lebih awal, aliran trafik boleh bertambah baik dengan ketara.

    Katanya kempen itu juga akan membantu usaha kerajaan mengumpul data mengenai tingkah laku pengguna, kadar penerimaan, serta keberkesanan insentif sedemikian dalam mengurangkan kesesakan.

    Semalam, Yeoh sekali lagi menjawab kritikan terhadap langkah kerajaan melaksanakan inisiatif tersebut, dengan menegaskan ia “lebih baik daripada tidak buat apa-apa”.

    “Jika mahu mengkritik mana-mana program, saya pasti sesiapa pun boleh mencari kelemahan pada setiap satu daripadanya,” kata menteri itu seperti dipetik The Star pada satu acara berasingan di Bandar Tun Razak.

    Yeoh berkata dia faham tiada satu langkah pun mampu memuaskan semua pihak tetapi menjelaskan inisiatif ‘Bangun KL’ tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

    Menegaskan kerjasama dengan sektor swasta penting untuk menangani masalah trafik kronik, Yeoh berkata kesesakan lalu lintas merupakan cabaran bandar global yang tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat.

    “Jika semua pihak menyumbang, saya percaya keadaan akan bertambah baik, tetapi ia memerlukan masa,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah