Seorang bekas juruteknik X-ray bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas dakwaan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan berlakunya “kluster kanser”.
Universiti Malaya, yang mempunyai bidang kuasa ke atas pusat perubatan tersebut, bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.
Nur Fauzia Abdul Razak, yang sebelum ini bertugas di unit perubatan nuklear PPUM, berkata peguamnya akan mengumumkan butiran mengenai perkara itu pada satu sidang media dalam masa terdekat.
Ketika berucap pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pagi ini, Nur Fauzia memaklumkan bahawa dia telah didiagnosis dengan limfoma Hodgkin tahap empat — sejenis kanser jarang berlaku yang menjejaskan sel darah putih, iaitu sebahagian daripada sistem imun.
Selain dirinya, Nur Fauzia berkata tiga lagi kakitangan masing-masing didiagnosis dengan kanser paru-paru, leukemia dan kanser payudara, manakala empat yang lain disahkan menghidap penyakit tiroid.
“Lebih membimbangkan, pesakit kanser payudara itu terpaksa menjalani pembezahan caesarean bagi kelahiran pramatang sebelum menjalani mastektomi — iaitu pembezahan membuang tisu payudara untuk rawatan kanser.
“Semua kakitangan terjejas adalah dari jabatan radiologi (PPUM),” katanya.
Dia mendakwa situasi ini berlaku selepas pemasangan mesin positron emission tomography–computed tomography (PET-CT) di hospital tersebut beberapa tahun lalu.
Sejak itu, katanya, berlaku peningkatan mendadak dalam kalangan kakitangan yang jatuh sakit akibat penyakit berkaitan radiasi.

Dia turut mendakwa wujud cubaan untuk menutup isu tersebut.
Nur Fauzia menunjukkan sepucuk surat daripada Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan (BKRP), agensi yang bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.
Surat bertarikh 19 Okt 2025 itu dilaporkan menyatakan siasatan tidak menemui sebarang pelanggaran prosedur.
“Berdasarkan semakan rekod laporan pemeriksaan kesihatan berkala, laporan dos radiasi individu serta pemeriksaan peralatan dan prosedur kerja, didapati tiada isu keselamatan seperti yang didakwa dalam aduan, dan semua langkah keselamatan serta pematuhan terhadap Akta Perlesenan Tenaga Atom adalah teratur.
“Semua bacaan dan kawalan berkaitan pendedahan radiasi juga berada dalam julat yang dibenarkan, selaras dengan Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Keselamatan Radiasi Asas) 2010,” menurut bahagian itu.
Namun, dia mendakwa perkara itu bercanggah dengan pertemuan terdahulu bersama pegawai BKRP, yang mengakui penyakitnya merupakan kesan sampingan pendedahan radiasi jangka panjang.
Pelanggaran SOP
Menurutnya, empat pegawai penguat kuasa bahagian itu turut mengakui terdapat pelanggaran SOP di jabatan hospital berkenaan.
Selain itu, dia mendakwa kecuaian SOP telah mendedahkan kakitangan dan pesakit kepada radiasi akibat langkah perlindungan yang tidak mencukupi.
Pesakit juga didakwa tidak dihalang daripada memasuki kawasan radiasi, termasuk penggunaan lif awam di jabatan berkenaan yang terletak terlalu hampir dengan peralatan radiasi.
Katanya, pesakit sering dilihat menunggu di kawasan tersebut.
Dia turut menyuarakan kebimbangan bahawa kegagalan mengasingkan pesakit dengan secukupnya boleh mendedahkan pelawat hospital lain kepada dos radiasi.
Bagi kakitangan pula, mereka didakwa tidak dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap walaupun bekerja dengan radiasi sinar gamma.

Setakat ini, dia berkata telah bertemu setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang telah diberi taklimat mengenai perkara tersebut.
Satu pertemuan dengan ahli Parlimen itu, yang juga Menteri Komunikasi, dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Dalam sidang media sama, wakil Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi mengemukakan 10 tuntutan kepada pihak berkuasa, antaranya:
-
Siasatan bebas dan telus,
-
Audit menyeluruh semua peralatan radiasi,
-
Pelaksanaan sistem pemantauan dos radiasi bagi kakitangan berkaitan,
-
Jaminan perlindungan kepada pekerja, pesakit dan pelawat,
-
Latihan keselamatan radiasi berterusan,
-
Akauntabiliti pihak pengurusan hospital,
-
Rawatan perubatan percuma, sokongan psikososial dan pampasan kewangan kepada kakitangan terjejas serta keluarga,
-
Penambahbaikan infrastruktur dan prosedur,
-
Pertemuan rasmi dengan BKRP, dan
-
Penjelasan rasmi daripada pegawai perlindungan radiasi serta pengurusan hospital.
Aktivis pelajar turut memberi amaran bahawa mereka tidak teragak-agak untuk mengadakan protes sekiranya tuntutan tersebut tidak diendahkan.
Dalam satu kenyataan menafikan dakwaan berkenaan, Universiti Malaya merujuk kepada pemeriksaan pada Oktober tahun lalu sebagai bukti tiada pelanggaran SOP dan bahawa PPUM mematuhi peraturan ditetapkan.

“Operasi imbasan PET-CT dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan yang ketat.
“Tahap pendedahan radiasi adalah mengikut standard yang ditetapkan dan terkawal.
“Semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi.
“Rekod rasmi menunjukkan dedahan radiasi pekerja adalah jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos yang diwartakan.
“Pemeriksaan kesihatan berkala dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Universiti itu menegaskan bahawa PPUM mematuhi sepenuhnya SOP program perlindungan radiasi, Akta Perlesenan Tenaga Atom, Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Keselamatan Radiasi Asas), serta Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011.





