Dua pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa wang berjumlah RM5 juta dimasukkan ke akaun milik Bersatu.
Penolong Pengurus Cawangan CIMB Bukit Tunku, Herdayanti Md Hasan, berkata wang berjumlah RM2 juta, RM1 juta, RM500,000 dan RM500,000 dikeluarkan melalui cek atas nama ahli perniagaan Azman Yusoff pada 24 Sept 2021 dan 3 Nov 2022 sebelum dimasukkan ke akaun parti tersebut.
"Dokumen ini merupakan penyata bank CIMB milik Azman Yusoff dan berdasarkan penyata bank ini, saya sahkan terdapat pengeluaran wang daripada akaun milik ahli perniagaan itu," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi, saksi pendakwaan ketujuh itu turut mengesahkan borang permohonan pembukaan akaun peribadi Azman.
Bagaimanapun, ketika disoal peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin sama ada dia mengetahui tujuan cek itu dikeluarkan atau tidak, Herdayanti menjawab dia tidak pasti.
Herdayanti, 44, juga bersetuju bahawa semua pembayaran akan melibatkan rekod bank yang mengeluarkan cek tersebut kepada akaun penerima.
Amer Hamzah: Oleh itu, apa-apa pembayaran melalui cek adalah satu pembayaran yang telus dan ada rekod.
Herdayanti: Ya, setuju.
Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kota Kemuning Alfian Othman, berkata pada 21 Feb 2022, syarikat Nepturis Sdn Bhd telah membuat transaksi RM1 juta melalui cek.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata cek bertarikh 16 Feb 2022 tersebut dilunaskan pada 21 Feb 2022 kepada Bersatu.
Alfian, 57, juga bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa cek yang dikeluarkan oleh Nepturis itu bukan untuk Muhyiddin sebaliknya Bersatu, dan pembayaran direkodkan selain telus serta tiada apa-apa yang diselindungi.
Muhyiddin, yang ketika itu memegang jawatan perdana menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin, 78, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Perbicaraan di hadapan hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 28 April.





