
Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik rakaman penuh sesebuah konsert di laman sosial ternyata telah memberi kesan buruk terhadap pemain industri terutama penyanyi dan penganjur.
Cetak rompak alaf baru

Ketika ditemui , Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah (RPM) Datuk Eddy Amir Salim dalam nada tegas memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya menurunkan kandungan konsert tersebut segera.
Apa yang mereka buat adalah, mereka beli tiket barisan hadapan, buat sesi siaran langsung dan juga rakaman penuh konsert.
Selepas itu mereka muat naik di platform YouTube dan mengenakan bayaran untuk langganan.
Ini adalah perkara yang patut kita lindungi dalam industri. Kalau isu ini tidak dibendung, penganjur seperti kami akan terkesan akibatnya.
Justeru, Eddy tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Jadi ini adalah amaran untuk mereka segara menurunkan hantaran berkenaan.
Pada saya ini adalah cetak rompak alaf baru. Saya pun sudah kenal pasti beberapa pihak yang melakukan perkara itu. Yuran langganan yang dikenakan antara RM17 hingga RM70.
Eddy berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media Rumah Produksi Merah yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Berbincang dengan SKMM

Dalam masa yang sama, Eddy memaklumkan pihaknya berhasrat untuk mengatur pertemuan bersama Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh terdekat.
Kami akan bertemu dengan pihak SKMM bagi membincangkan tentang masalah ini sebab sudah banyak siri konsert yang dimuat naik.
Nak diikutkan kami boleh ambil tindakan berdasarkan notis amaran yang tertera di tiket konsert iaitu larangan kepada penonton daripada membawa peranti rakaman.
Malah saya juga sudah berbincang dengan pihak peguam namun kami tidak mahu membawa isu ini ke tahap itu.
Sementara itu, penyanyi terkenal Datuk Awie turut meluahkan rasa kesal dengan segelintir pihak yang menjual barangan ekslusif kumpulan Wings secara tiruan.
Ada juga pihak yang menjual barangan tiruan seperti t-shirt kumpulan Wings, sedangkan RPM adalah pengeluar sah untuk official merchandise.
Ini juga antara isu yang kami bangkitkan dan berharap ianya didengari dan dibantu oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika tidak, ia juga akan merugikan pihak penganjur.
Terdahulu, Eddy menyedari tentang perkara itu selepas penganjuran Konsert Triad yang diadakan pada 14 Februari lalu.
Dalam perkembangan lain, RPM berkongsi perancangan aktiviti mereka sepanjang tahun ini termasuk penganjuran konsert di penjara dan konsert sempena 40 tahun kumpulan Wings.





