
Pelakon, Amyra Rosli gagal menahan rasa sebak ketika memberi ucapan untuk suami, aktor Amar Baharin yang mahu memulakan misi berbasikal ke Tanah Suci, pada 27 April lalu.
Doakan Amar

Amyra atau nama lengkap Nur Amira Izzati Rosli, 33, berkata, emosinya sedikit terganggu kerana pertama kali berjauhan dengan suami untuk tempoh yang lama.
Bagaimanapun, aktres itu tetap mendoakan perjalanan suaminya dipermudahkan hingga tiba di Makkah.
Ini adalah pertama kali saya akan berjauhan dengan suami untuk tempoh yang lama. Saya tidak patut berucap sekarang ini kerana emosi saya sedikit bercelaru.
Apa pun saya mendoakan suami dan rakannya dalam misi ini sebagai musafir agar mereka sentiasa dilindungi-Nya.
Sama-sama kita semua doakan mereka, semoga Allah lindung mereka bermula hari bertolak sampai ke destinasi yang ingin dituju.
Sebelum ini, Amar memaklumkan terpaksa terpaksa menukar laluan perjalanan bagi misi berbasikal ke Tanah Suci susulan konflik yang sedang berlaku di sempadan Pakistan dan India ketika ini.
Menurut pemilik nama lengkap Amar Mohd. Baharin, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan selain menyifatkan ada hikmah atas apa yang terjadi.
Terdahulu, Amar memberitahu bakal menjayakan misi berbasikal Kembara Makkah bersama rakannya yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Amar dan Muqharabbin dijangka memulakan kayuhan mereka dari Perlis sebelum merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran sebelum tiba di Arab Saudi. Mereka dijangka tiba di Madinah pada Julai depan.





