Di sebalik penyelesaian agihan kerusi antara parti-parti komponen, PAS tidak memberi jawapan yang jelas sama ada parti itu akan turut berkempen di kerusi yang ditandingi Bersatu atau tidak dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya hanya berkata pihaknya akan berkempen untuk PN.
“Kempen untuk PN, itu akan berlaku di medan, kita tengoklah.
“Kita akan ada negeri-negeri bantu, kita akan susun macam biasa, proses pilihan raya macam biasa,” katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, hari ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya berhubung kerjasama PAS dan Bersatu khususnya melibatkan kempen dalam PRN susulan kedua-dua parti berkenaan tidak lagi mempunyai kerjasama politik.
Menteri Besar Kedah itu menyeru semua pihak untuk menumpukan usaha mendapatkan sokongan pengundi di Johor.
“Yang penting sekarang ini pengundi, kita nak pengundi Johor mengundi PN, apa cara yang kita boleh buat, kita akan buat,” katanya.
Terdahulu Sanusi yang mengetuai jawatankuasa rundingan kerusi PN bagi PRN itu memaklumkan proses agihan kerusi antara empat parti komponen terbabit berjaya diselesaikan dengan harmoni.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa ketika ditanya kerjasama antara kedua-dua parti tersebut menjelaskan hubungan PAS dan Bersatu dalam PN adalah bersifat multilateral.
“Itu bilateral (PAS-Bersatu), ini multilateral (PN). PN lain, PAS lain. Tak ada pertindihan.
“Di Perlis masih menteri besar kekal, exco masih kekal. PN masih kekal cari jalan terbaik tak beremosi. Kita duduk empat parti bahagi kerusi elok-elok dan bergelak ketawa,” katanya yang turut menyertai proses rundingan kerusi yang berakhir hari ini.





