Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memandang serius beberapa insiden membabitkan penggunaan aset dan sumber kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam satu kenyataan semalam, Jawatankuasa Pemandu Bersih merujuk kepada beberapa kejadian yang didakwa berlaku baru-baru ini. Antaranya:
- Siaran ceramah Umum Pakatan Harapan di RTM pada 15 Jun.
- Pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkenaan Perkhidmatan Shuttle Selatan pada 16 Jun di mana 3,000 Kad Komuter Madani Shuttle Selatan bernilai RM50 diagihkan percuma kepada rakyat Johor
- Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor oleh Menteri Besar Sementara, Onn Hafiz Ghazi pada 18 Jun; dan
- Pemberian Bakul Kasih Johor di seluruh negeri.
Bersih berkata walaupun inisiatif-inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada rakyat, pelaksanaannya dalam tempoh menjelang pilihan raya menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan proses pilihan raya.
"Amalan terbaik demokrasi menuntut supaya pengumuman dasar baharu, pelancaran program berskala besar, pengagihan bantuan serta penggunaan aset kerajaan yang boleh memberi manfaat politik kepada mana-mana pihak dihentikan sebaik sahaja Dewan Negeri dibubarkan.
"Kerajaan Sementara di peringkat negeri, dan juga Kerajaan Persekutuan seharusnya menahan diri daripada membuat pengumuman bantuan, projek dan agihan bantuan dalam sela masa pilihan raya," katanya.

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada RTM, Anthony Loke dan Onn Hafiz berhubung perkara itu.
Petisyen pilihan raya
Sementara itu, Bersih mengingatkan keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu pada 2023, yang menyaksikan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen kawasan itu.
Antara kesalahan yang dimukakan dalam petisyen tersebut adalah agihan wang bantuan melalui program kerajaan negeri seperti i-Belia, i-Pencen dan i-Siswa.
Bersih berkata, program-program pemberian baucar, wang bantuan, agihan bakul makanan dan seumpamanya walaupun berselindung di balik jenama kerajaan, boleh menjadi satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 8 Penjamuan dan Seksyen 10 Penyogokan.
Badan itu sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) bagi melarang penggunaan aset, dana, institusi dan sumber kerajaan untuk tujuan memperoleh kelebihan politik dalam tempoh pilihan raya.
"Selagi kelemahan ini tidak diperbetulkan, selagi itulah penyalahgunaan aset kerajaan akan terus berulang tanpa mengira siapa yang memegang kuasa, dan cita-cita untuk mewujudkan sistem pilihan raya yang benar-benar bersih dan adil akan terus menjadi janji yang tidak tertunai," katanya.





