34.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ambang Tahun Baharu 2026: Melaka Lancar Tahun Melawat 2.0, Sasar 19 Juta Pelancong

    Shopee Sale

    Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Melaka bukan sekadar acara kira detik biasa. Tahun ini, negeri bersejarah itu mencipta momen besar apabila Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 dilancarkan secara rasmi, sekali gus menandakan fasa baharu pelancongan Melaka menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

    Majlis yang berlangsung meriah di Encore, Melaka, turut diserikan dengan Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (RGK) 2025, yang buat pertama kalinya dianjurkan di luar kem tentera dan dibuka kepada tontonan orang awam.

    Lebih 15 juta pelancong, RM14 bilion untuk ekonomi melaka

    Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, dalam ucapannya memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, Melaka berjaya mencatatkan lebih 15 juta kehadiran pelancong, dengan sumbangan sektor pelancongan mencecah RM14 bilion kepada ekonomi negeri.

    Menurut beliau, pencapaian ini membuktikan Melaka bukan sekadar negeri warisan, tetapi sebuah negeri yang dinamik, kompetitif dan berdaya saing, dengan limpahan ekonomi yang dirasai terus oleh rakyat termasuk peniaga kecil, pengusaha hotel, pemandu teksi dan pemain industri pelancongan.

    Melaka jadi pilihan acara bertaraf dunia

    Sepanjang 2025, Melaka turut diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara berimpak tinggi, termasuk:

    • Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC)
    • Mesyuarat MABIMS peringkat serantau
    • Program Malaysia Techlympic 2025 yang disertai lebih 1.8 juta peserta
    • Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2025

    Kemuncaknya, pada September lalu, Melaka mencuri perhatian dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025, melibatkan penyertaan 159 negara.

    Pemilihan ini disifatkan sebagai pengiktirafan global terhadap keupayaan Melaka dari segi tadbir urus, prasarana, keselamatan, hospitaliti serta kekuatan identiti negeri.

    Tahun Melawat Melaka 2.0: 220 acara, sasaran 19 juta pelancong

    Melangkah ke tahun 2026, kerajaan negeri menyasarkan 19 juta kehadiran pelancong, disokong oleh lebih 220 acara yang dirancang sepanjang tahun di bawah kempen Tahun Melawat Melaka 2.0.

    MENARIK:  [VIDEO] Zizi Kirana Antara Rakyat Malaysia Yang Ditahan, Mohon Dibebaskan

    Bagi memperkukuh pengalaman pelancong, Melaka turut memperkenalkan inisiatif pelancongan digital seperti:

    • Smart Tourism Melaka AI
    • Pasport Pelancongan Visit Melaka 2.0

    Pendekatan ini bertujuan menjadikan Melaka bukan sahaja destinasi yang cantik dan kaya sejarah, tetapi juga maju dari segi teknologi dan pengurusan pelancongan pintar.

    Orkestra Badan Seni Warisan Melaka ditubuhkan

    Sebagai negeri warisan yang diiktiraf UNESCO dan memegang gelaran ASEAN City of Culture (2024–2026), Melaka turut mengumumkan penubuhan Orkestra Badan Seni Warisan Melaka.

    Orkestra ini dijangka menjadi duta budaya negeri, mempersembahkan keharmonian Melaka melalui muzik yang merentas kaum, agama dan latar belakang, selari dengan identiti Melaka sebagai negeri berbilang budaya.

    Masuk percuma jika pakai busana tradisional Melaka

    Antara pengumuman yang menarik perhatian ramai, kerajaan negeri menawarkan kemasukan percuma ke tarikan pelancongan terpilih kepada pengunjung yang memakai busana tradisional Melaka, bermula 3 Januari 2026, sempena program Melaka Bila Larut Malam.

    Selain itu, pelancong termasuk pelancong antarabangsa yang tiba dengan kapal pesiar Genting Dream Cruise setiap hari Isnin juga layak menikmati kemasukan percuma ke lokasi pelancongan negeri, dengan syarat berpakaian tradisional etnik Melaka.

    Melaka terus fokus “Sayang Rakyat”

    Menutup ucapan, Ketua Menteri menegaskan bahawa tahun 2026 bukan sekadar permulaan baharu, tetapi medan untuk kerajaan negeri terus memperhebat agenda pembangunan berteraskan prinsip “Melaka Sayang Rakyat, Demi Rakyat, Untuk Rakyat”.

    Dengan gabungan pelancongan, budaya, teknologi dan kebajikan rakyat, Melaka optimis untuk terus melangkah sebagai destinasi utama negara dan rantau ini.

    The post Ambang Tahun Baharu 2026: Melaka Lancar Tahun Melawat 2.0, Sasar 19 Juta Pelancong first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah